Malaysia Dateline

Pemuda Amanah sokong Pemuda PH buat laporan terhadap Umno

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menyokong tindakan Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang mengambil langkah membuat laporan kepada pihak Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) ke atas Umno berhubung isu rasuah 1Malaysiada Development Berhad (1MDB).

Laporan tersebut berikutan pendedahan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa Umno menerima dana berjumlah RM212 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalannya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pertubuhan kleptokrasi tersebut untuk mendapatkan kembali wang yang telah dirompak.

“Saya bersama dengan Pemuda Harapan untuk membuat laporan ROS supaya menyiasat salah laku Umno yang selama ini mendiamkan diri terhadap penyelewengan yang dilakukan dalam 1MDB dimana ia diketuai sendiri oleh Datuk Seri Najib Razak yang kini berhadapan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah.

“Seperti yang kita tahu, wang yang dialirkan kepada beberapa akaun milik Umno berjumlah sehingga RM212 juta. Ia bukan satu jumlah sedikit tetapi melibatkan wang rakyat yang menjadi hutang negara dimana akhirnya perlu ditanggung oleh rakyat.

“Dengan pendedahan dan bukti yang dikemukakan SPRM, Umno perlu dikenakan tindakan tegas dan serius untuk memulangkan kembali wang yang diambil,” katanya ketika di temui Malaysia Dateline selepas majlis Sambutan Aidilfitri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), hari ini.

Sementara itu, beliau menyifatkan tindakan pantas SPRM menyenaraikan 41 individu dan entiti sebagai pihak ketiga yang menerima wang haram tersebut, harus dipuji sebagai salah satu tindakan membersihkan negara dari amalan kleptokrasi disamping mewujudkan tadbir urus negara bebas rasuah.

“Jadi laporan ini merupakan salah satu tindakan awal yang ditunjukan pemuda harapan supaya kerajaan telus dan bersih dalam pentadbiran, malah parti juga perlu bersikap telus dari segala rasuah dan salah laku kuasa dalam menguruskan parti mereka,” ujarnya.