Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH sokong Shafie berjaya selesai isu tanah

 

Khairuddin Daud

Pemuda AMANAH Nasional mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal kerana telah berjaya menyelesaikan isu tanah di negeri itu.

Pengarah Komunikasinya, Khairuddin Daud berkata, Shafie dalam tempoh pemerintahan kerajaan Warisan telah bertindak pantas dalam menyelesaikan masalah tanah yang terlalu lama membelenggu rakyat Sabah sejak dari era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Terbaru di Sipitang, 249 orang daripada 7 buah kampung menerima geran tanah, manakala di Beluran 599 orang menerima geran tanah berkeluasan 4062.32 ekar.

“Reformasi pentadbiran turut dilakukan oleh Ketua Menteri Sabah apabila geran komunal yang diperkenalkan oleh Tan Sri Musa pada 2010 dihapuskan selari dengan kehendak rakyat yang mahukan pemilikan penuh geran tanah mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyelar tindakan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Perikatan Nasional (PN) yang memutar belitkan fakta dan menabur fitnah mengenai isu tanah yang diselesaikan oleh Shafie dengan turun padang menyampaikan geran tanah kepada penerima.

Khairuddin yang juga bekas Ketua Pemuda AMANAH Sabah berkata, tindakan PBS dan PN yang menabur fitnah itu amat mengecewakan.

“Adakah PBS dan PN tidak mahu rakyat mendapat manfaat daripada pentadbiran kerajaan?

“Sewajarnya PBS sebagai bekas parti kerajaan Sabah dan PN sebagai kerajaan di Persekutuan menyokong segala usaha dalam menyelesaikan masalah rakyat di Sabah.

“Tindakan PBS hanya mencemarkan nama parti itu sendiri yang pernah dihormati suatu ketika dahulu,” tegasnya.

Oleh yang demikian, Khairuddin berkata, Pemuda AMANAH menzahirkan sokongan padu kepada Shafie untuk terus memimpin dan membangunkan Sabah.