Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH sokong siasatan, tindakan diambil terhadap Hishammuddin

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan tindakan bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang masih menggunakan khidmat tiga pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai tidak beretika dan bercanggah dengan peraturan.

Timbalan ketuanya, Faiz Fadzil berkata, tindakan Hishammuddin mengambil dua orang anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dan seorang anggota Komando ATM sebagai pegawai pengiringnya seolah-olah beliau tidak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) yang lalu.

“Tindakan Hishammuddin ini suatu yang tidak beretika kerana beliau perlu sedar bahawa sejak Barisan Nasional (BN) tewas pada 9 Mei lalu di mana beliau tidak lagi menjadi Menteri Pertahanan.

“Beliau seharusnya mengasingkan diri daripada pejabat Menteri Pertahanan dan memutuskan hubungan rasmi dengan mana-mana pegawai dan anggota kementerian termasuk ATM,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Faiz, tindakan Hishammuddin yang meminta anggota di bawah kementerian termasuk ATM meneruskan kerja dengan beliau boleh dianggap salahguna kuasa kerana mereka masih berkhidmat dan dibayar gaji oleh ATM.

Katanya, alasan Hishammuddin bahawa mereka telah diminta untuk meletak jawatan serta-merta tidak berasas kerana beliau seharusnya memastikan mana-mana individu yang berkhidmat dengan beliau tiada apa-apa kaitan tugas dengan kerajaan dan ATM.

“Ironinya, tiada peruntukan bagi mana-mana anggota ATM dibenarkan meletakkan jawatan 24 jam kerana tempoh perkhidmatan mereka adalah untuk sesuatu tempoh tertentu.

“Peletakan jawatan mana-mana anggota ATM adalah tertakluk di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 dan bukannya boleh dibuat sewenang-wenangnya. Sebagai bekas menteri, adalah tidak logik untuk Hishammuddin tidak arif berkenaan peraturan ini.

“Sebaliknya, Hishammuddin pula memberikan alasan bercanggah dengan menyatakan bahawa perkhidmatan mereka dengan beliau hanya untuk sementara waktu sahaja sedangkan mereka masih berkhidmat dengan ATM,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir itu.

Tambah beliau, tindakan tersebut jelas bercanggah dengan Peraturan-peraturan sedia ada termasuk Akta Angkatan Tentera 1972.

Justeru tambahnya, Pemuda AMANAH menyokong penuh tindakan Menteri Pertahanan YB Mohamad Sabu supaya suatu siasatan diadakan berhubung perkara ini dan pihaknya menggesa pihak berkuasa turut menyiasat Hishammuddin.

Siasatan ini ujarnya, penting untuk memastikan mana-mana bekas menteri kabinet BN menumpukan tugas mereka sebagai pembangkang serta memastikan semua anggota dan pegawai kerajaan memberikan khidmat penuh dan taat setia kepada kerajaan baharu yang telah dipilih rakyat secara sah dan demokratik.