Pemuda Amanah sokong titah Agong mengenai rasuah

Pemuda Amanah sokong titah Agong mengenai rasuah

Pemuda Amanah Nasional menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang menyokong individu terli

bat rasuah dibawa ke muka pengadilan.

Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata, titah baginda selari dengan pendirian Amanah dan Pakatan Harapan yang komited menentang segala bentuk rasuah yang berlaku termasuklah skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ketegasan yang dititahkan Tuanku perlu didukung sepenuhnya oleh semua pihak dalam usaha membasmi gejala rasuah yang semakin berleluasa dalam negara ini.

“Kami berpandangan, usaha pembasmian penyelewengan, ketirisan dan rasuah ini perlu dimulakan daripada pihak atasan iaitu kerajaan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sultan Muhammad V dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan, rasuah dan pembocoran maklumat dalam di kalangan kakitangan awam dan bekas penjawat awam.

Baginda bertitah walaupun kegiatan itu dilakukan segelintir mereka yang terbabit, namun ia menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

“Justeru, beta mengalu-alukan tindakan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

“Rakyat juga perlu memberi sokongan dengan tidak terlibat sebagai pemberi rasuah atau memiliki dokumen terperingkat tanpa kebenaran,” titah baginda ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Sany menegaskan, skandal 1MDB menjadi liabiliti terhadap negara dan sehingga hari ini siasatan yang dijalankan masih diragui oleh semua pihak.

Justeru Pemuda Amanah sekali lagi mendesak satu Suruhanjaya Siasatan Di-Raja ditubuhkan bagi menyiasat secara serius skandal 1MDB yang melibatkan wang rakyat yang sangat tinggi nilainya.

“Bagi kami, kes-kes besar seperti ini juga perlu didakwa secara telus, bukan hanya rasuah di peringkat bawahan sahaja. Jangan hanya ikan bilis sahaja ditangkap sedangkan jerung masih berleluasa melakukan gejala ini.

“Rasuah adalah ancaman nombor satu negara ketika ini, kami menyanjung tinggi titah Tuanku dan berharap ia dapat dibanteras secara habis-habisan.

“Pemuda Amanah Nasional yakin, sekiranya negara ini bebas daripada rasuah, seluruh rakyat akan menikmati hasil mahsul negara secara adil dan saksama,” katanya.

TAGS