Pemuda AMANAH tampil 22 calon PRU-14, paling muda 26 tahun

Hasnul Zulkarnain (kiri sekali) bersama penyandang Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid dan calon Dun Kuala Kurau.

Kali pertama menyertai pilihan raya umum (PRU), AMANAH melalui sayap pemudanya menampilkan 22 calon untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Empat daripadanya beradu di gelanggang PRU-14 bagi kerusi Parlimen iaitu dua kerusi di Kedah manakala Kelantan dan Sarawak masing-masing satu kerusi.

Daripada 22 kerusi Parlimen dan Dun itu, 12 daripadanya disandang Pas.

Calon paling muda yang ditawarkan parti Islam itu adalah Ahmad Saqif Ansorullah Ahmad Jihbadz Mokhlis, 26, yang merupakan cicit kepada tokoh ulama berpengaruh, almarhum Abu Bakar al-Baqir (1907-1974).

Beliau yang bertanding di Dun Selinsing (N12) akan berentap dengan penyandang Husin Din dari Pas dan calon BN, Mohamad Noor Dawoo.

Sementara itu, Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan diuji dengan pertembungan lima penjuru apabila mencabar penyandang, Zaidy Abdul Talib dari Pas.

Tiga lagi pencabar Sany di kerusi yang mempunyai 53.2 peratus pengundi Melayu, Cina (33.8 peratus) dan India (12.2 peratus) itu Md Nasir Ibrahim (BN), Koh Swe Yong (PRM) dan B Rajandran (PAP).

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil, 41, pula sah bertanding di Dun Permatang Pasir (N11) dalam pertandingan tiga penjuru.

Peguam yang juga anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Ustaz Fadzil Nor itu mendapat tentangan calon Pas, Fauzi Yusoff dan Ahmad Faisal Yahaya dari BN.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar pula bertanding di kerusi yang disandang bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman dalam pertempuran sengit lima penjuru di Dun Meru (N42).

Turut berebutkan kerusi di bawah Parlimen Kapar itu BN, PRM dan calon Bebas.

Seramai tujuh Ketua Pemuda AMANAH negeri diberi kepercayaan untuk bertanding pada PRU kali pertama disertai parti berteraskan prinsip Rahmatan Lil Alamin itu.

Mereka yang kesemuanya bertanding atas logo PKR selaras dengan keputusan PH pada 6 April lalu adalah:

1. Kedah: Mohd Asmirul Anuar Aris – Dun Kubang Rotan (N16)
2. Perak: Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim – Dun Titi Serong (N08)
3. Johor: Muhammad Taqiuddin Cheman – Dun Pulai Sebatang (N54)
4. Pahang: Nur Ad-Din Ibrahim – Dun Lepar (N18)
5. Terengganu: Mohd Hasbie Muda – Dun Paka (N28)
6. Kelantan: Mohd Zulhazmi Hassan – Dun Panchor (N07)
7. Sarawak: Mohamad Fadillah Sabali – Parlimen Tanjong Manis (P026)

9.0
OVERALL SCORE
: 7.0
3 user votes x 9.7