Pemuda AMANAH tempelak tindakan turun bendera

Oleh MALAYSIADATELINE

Dalam suasana menyambut hari kemerdekaan yang ke 61, ia dicemarkan dengan tindakan beberapa pihak yang telah membunuh semangat tersebut.

Tindakan itu telah ditempelak oleh Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Mohamad Taqiuddin Cheman yang merasa kesal serta sedih dengan perkara itu.

Taqiuddin dalam satu kenyataannya telah menyebut, tindakan pihak berkuasa negeri Kelantan yang telah menurunkan bendera Malaysia ‘Jalur Gemilang’ dilihat sebagai sifat penanaman kebencian terhadap negara.

“Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Malaysia pada Mei lalu telah membawa mesej atau tema ‘Sayangi Malaysiaku’ sebagai mewujudkan rasa sayang dan cinta pada negara.

“Namun rasa tersebut tidak wujud apabila ada segelintir pihak yang mengambil sikap ekstrim untuk menidakkan rasa itu seperti yang berlaku di Kelantan.

“Sama ada ia sengaja atau tidak, perkara itu adalah suatu kesan dari dalam diri yang benci kepada kepimpinan negara lantas diterjemahkan dengan mengaitkan semangat patriotik,” jelas beliau.

Selain itu, Adun Pulai Sebatang itu juga menyatakan kebencian yang tersebut telah diwujudkan untuk menanam perspektif negatif terhadap negara di bawah pimpinan negara.

“Ianya jelas dengan mereka memberi gelaran dari rasa kebencian tersebut seperti apa yang mereka gelarkan di negeri Selangor ‘Darul LGBT’.

“Kami amat bersimpati dengan nasib rakyat di negeri Kelantan dan Selnagor yang telah pun dinafikan rasa cinta pada negara dari sesetengah pihak yang berkepentingan,” Taqiuddin Cheman.

Dalam pada masa yang sama, Taqiuddin juga menyatakan di negeri Johor di bawah pimpinan PH, semangat menyambut hari kemerdekaan dirancakkan dengan pelbagai program agar rakyat di negara ini khususnya golongan muda dan kanak-kanak dapat merasai rasa sayang pada negara.