Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Terengganu buat kontroversi…

Pemuda AMANAH Terengganu bakal mencipta kontroversi apabila Ketua Wanita Muda Nasional (Warda), Nurthaqaffah Nordin bakal merasmikan konvensyen mereka malam ini.

Perkara ini diakui sendiri oleh Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu, Muammar Qaddafi menerusi facebook beliau.

“Konvensyen Pemuda AMANAH Terengganu yang akan diadakan pada malam ini mencipta sedikit kelainan apabila menjemput ketua sayap Wanita Muda AMANAH sebagai perasmi.

“Pasti ada beberapa anggapan tentang jemputan ini namun sebenarnya ia hasil berbincang panjang antara jk Pemuda Terengganu,” kata beliau.

Menurut satu kajian, menjadi trend sekarang ini wanita muda lebih mudah diterima sebagai calon dan juga peneraju perubahan di negara ini.

Nurthaqaffah bakal merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Terengganu yang bakal berlangsung jam 9 malam ini.

Nurthaqaffah, bekas Setiausaha Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional itu dilantik sebagai ketua sayap wanita muda AMANAH itu pada 1 Disember 2019 lalu.

“Pilihan pertama pemuda adalah Presiden, Bang Mat sendiri, namun bila kita hubungi PA dia, mengatakan bang Mat ‘tak lapang’, maka bincang punya bincang terbit nama Dr Siti Mariah, Naib Presiden AMANAH.

“Setelah dibincang lagi, ada cadangan supaya berikan beberapa alternatif nama lagi walaupun umumnya jk bersetuju jemput Naib Presiden itu.

Setelah terbit nama Dr Siti Mariah, ada idea untuk membawa wanita sebagai perasmi, lalu dicadangkan Ketua Awan, umumnya dipersetujui namun entah bagaimana, nama ketua Warda dilontarkan, setelah sekian sekian perbincangan, akhirnya Sdr Nurthaqaffah dipersetujui majoriti,” kata Muammar.

Beliau menjangkakan akan wujud kontroversi dengan pemilihan ini.

Sebagaimana dijangka, kata Muaamar, apabila nama beliau diumumkan kepada umum, ada suara kritikan dengan mengatakan tidak sesuai dengan pemikiran orang melayu.

“Saya tak jumpa asas kritikan ini, sebab orang melayu rata rata sebelum ini terima Wan Azizah sebagai TPM Malaysia yang pertama.

“Rasional kita kali ini bawa wanita adalah kita simbol pengiktirafan pemuda kepada kepimpinan wanita dalam parti politik, bukan isu sebagai ketua atau memimpin gerakan tetapi sebagai satu pasukan yang sama sama berkongsi peranan membangun parti.

“Kita kedepan Warda sebab mereka sebelum ini dianggap sepi, namun kami percaya market wanita muda sebagai pengundi parti AMANAH di Terengganu itu perlu ditarik segera.

“Kami tidak bercakap kosong, sekarang di Terengganu tiada sayap WARDA, walaupun sudah diusahakan pada 2019 namun apabila kerajaan tumbang, sebahagian potential young women leader kita terpaksa menarik diri,”kata Muammar yang juga merupakan seorang penulis profilik.

Beberapa bulan lalu usaha mencari dan menubuhkan Warda Terengganu kembali bermula dan “alhamdulillah sinar itu ada,” katanya.

Katanya, AMANAH sudah berjaya kumpul sekurangnya separuh penggerak yang perlu untuk mewujudkan Warda Kawasan dan seterusnya Warda Negeri.

“Rasional dan asbab kami hanya SATU, dibincang secara serius dalam biro politik dan pilihan raya pemuda, iaitu mendapatkan market wanita muda sebagai pengundi AMANAH di Terengganu.

“Warda dan Pemuda perlu wujud bergerak seiring untuk mencapai matlamat ini,” katanya.