Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Terengganu gesa KPM segera lantik Pengarah Pelajaran baharu

Pemuda AMANAH Terengganu menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) supaya segera menyelesaikan urusan pelantikan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri yang baharu.

Exco Pendidikan Pemuda AMANAH Terengganu, Mohd Firdaus Muhammad Nor berpendapat, pelantikan itu perlu disegerakan bagi memastikan kelancaran pengurusan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).

“Pelantikan ini perlu disegerakan agar JPNT dapat menumpukan sepenuhnya terhadap kelancaran perjalanan pentadbiran dan urusan JPNT di pelbagai peringkat, tambahan pula sesi persekolahan penggal 2020 bakal bermula tidak lama lagi.

“Sekiranya pihak KPM sudah mempunyai calon yang sesuai untuk menjawat jawatan tersebut, Pemuda AMANAH Terengganu berharap, ia dibuat segera memandangkan timbalan telah memangku tugas pengarah untuk tempoh masa yang begitu lama.

“Justeru, pelantikan ini diharap dapat meneruskan legasi dan kelestarian terbilang warga JPNT secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.