Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Terengganu gesa PH kaji semula MoU selepas kluster mahkamah dibebaskan

Konvensyen Pemuda AMANAH Terengganu meluluskan usul meminta Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk mengkaji semula perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri setelah secara berterusan beberapa kes berprofil tinggi dalam kalangan ahli politik dibebaskan.

Pemuda AMANAH Terengganu bimbang individu yang sebelum ini berdepan pendakwaan kemudian mereka ini telah dilepaskan atau dibebaskan dari pendakwaan dengan memulangkan sejumlah wang yang didakwa diterima secara tidak sah atau dengan membuat bayaran kompaun.

Setiausaha Pemuda AMANAH Negeri Terengganu Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata, kes terbaharu melibatkan Setiausaha Agong Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang telah dibebaskan dari pertuduhan setelah beliau membayar kompaun walaupun perbicaraan telah bermula.

Ahmad Maslan sebelum ini dituduh menerima sejumlah wang dari Datuk Seri Najib Razak yang dipercayai dana 1MDB

Naumn, Pemuda AMANAH Terengganu bimbang sekiranya trend ini berterusan, akhirnya beberapa individu yang disebut sebagai “kluster mahkamah” ini akhirnya dibebaskan seorang demi seorang.

“Rakyat akan kecewa dengan perkara ini dan Pakatan Harapan akan dilihat turut menyumbang kepada trend membimbangkan ini kerana dilihat mempunyai perjanjian persefahaman bersama kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

“Pun begitu perlu diingatkan bahawa kebertanggungjawaban melalui MoU ini tidak sebesar pihak-pihak yang secara langsung turut menganggotai kerajaan pimpinan Ismail Sabri,” katanya.