Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Terengganu pertaruh 3 calon pemuda

Pemuda AMANAH Terengganu mempertaruhkan tiga calon pemudanya dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional dalam Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional yang berlangsung hari ini.

Tiga calon tersebut termasuk Ketua Pemuda  AMANAH Terengganu , Hasbie Muda; Naib Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali; dan Mus’ab Muzahar.

Zamir Ghazali mula mendapat perhatian di peringkat Nasional apabila ucapan beliau di konvensyen Pemuda AMANAH Nasional 2018 menyentuh beberapa langkah penting yang perlu diambil untuk mengukuhkan kestabilan kerajaan Pakatan Harapan termasuklah mewujudkan kembali program seumpama BTN dan Rakan Muda.

Pengarah Komunikasi AMANAH Terengganu, Muammar Qaddafi, yakin bahawa usahawan Tani berusia 37 tahun itu, mampu melahirkan ratusan usahawan dalam bidang Pertanian.

“Ia telah dibuktikan lama sebelum beliau menyertai parti politik dan masih terus menerus melahirkan usahawan dalam kalangan belia muda di Negeri Terengganu.

“Saya percaya sekiranya beliau diberi tempat sebagai AJK Pemuda AMANAH Nasional, idea dan kepakaran beliau boleh membantu bukan sahaja memperkukuh dan memberi nilai tambah kepada Pemuda AMANAH Nasional.

“Bahkan Zamir mampu memberi idea dan sumbangan dalam memperkukuh industri pertanian dan keusahawanan yang yang dipimpin oleh Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub di kementerian pertanian dan asas tani,” katanya.

Memperkenalkan calon kedua, Muammar menyifatkan Pemuda AMANAH Terengganu dibawah kepimpinan Hasbie Muda menjadi sayap yang cukup aktif bermula sebelum PRU14, walaupun dengan keahlian yang terhad.

Memiliki latar pendidikan Ijazah Muda Ekonom, Hasbie diakui berkebolehan dalam berpidato dengan mempersembahkan data dan fakta kepada audien mampu menangkis tohmahan dan fitnah terhadap parti.

Pernah menjadi calon Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) lalu dan bertanding di Dun Paka, Muammar berkata, kemampuan Hasbie menganalisa maklumat serta memahami sosiopolitik akan membantu kelansungan parti.

“Biarpun kita berdepan Pas yang memiliki kekuatan terbesar, namun Pemuda AMANAH tidak pernah menjadi parti picisan bahkan duduk setaraf sayap pemuda parti lain.

“Program anjuran Pemuda AMANAH Terengganu juga cukup konsisten sejak awal sebelum PRU14 sehinggalah Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya.

“Pemuda AMANAH Terengganu cukup berbesar hati sekiranya perwakilan sudi memberi undi yang sekaligus akan membantu membawa suara Pemuda AMANAH Terengganu diperingkat Nasional,” ujarnya.

Bekas penuntut Unimas yang menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Jabatan Politik dan Kajian Antarabangsa (Sains Sosial), Mus’ab Muzahar tidak kurang hebatnya apabila turut diberi kepercayaan bertanding untuk menempatkan diri.

Menyertai AMANAH sejak 2016, Pengasas Pemuda AMANAH Terengganu yang berusia 29 tahun itu diberi mandat sebagai Naib Ketua Pemuda AMANAH Negeri pada sesi 2016-2019 dan sekali lagi mengekalkan kedudukan selepas pemilihan lalu.

Jelas Muammar, kerjaya Mus’ab sebagai penolong Pengurus Bank yang menguruskan pembiayaan, property, deal dengan ribuan ahli masyarakat dari pelbagai segmen ekonomi, cukup memberi kelebihan untuk memahami strata sosial ekonomi masyarakat.

“Pencapaian yang cukup baik sebagai PP Bank menjadi dalil beliau mempunyai komunikasi yang baik dan berkesan, dan pengalaman sebagai banker pastinya meletakkan beliau dalam suasana kerja yang sangat pressure, sesuatu yang tidak asing dalam dunia politik.

“Beliau terlibat secara aktif dalam forum, moderator samada anjuran parti politik mahupun Ngo.

“Calon ketiga yang Pemuda AMANAH Terengganu pertaruhkan adalah calon yang mempunyai merit dan kepakaran,” ujarnya.