Pemuda AMANAH tolak dakwaan berpecah

Pemuda AMANAH tolak dakwaan berpecah

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya sayap pemuda parti itu berpecah kepada tiga, adalah disebabkan sistem ‘cai’.

Beliau berkata, pada pendapatnya pembahagian ketiga-tiga nama tersebut iaitu (Pemuda Wibawa, Pemuda Bekerja dan Pemuda Bangkit) merupakan satu senarai daripada pihak pemuda.

Katanya, pemuda pada kali ini menampilkan satu pendekatan budaya politik baharu, iaitu berani untuk mengetengahkan calon-calon dan mereka (calon) tersebut juga berani menawarkan gagasan, pandangan dan manifesto mereka tentang perancangan untuk pemuda AMANAH tiga tahun akan datang.

“Pada saya, itu merupakan satu pendekatan budaya politik baharu. Selepas ini kita akan lihat bagaimana ketiga-tiga calon daripada ketiga-tiga kumpulan ini, kerana kita mempunyai kumpulan daripada Wibawa, Bekerja dan juga Bangkit.
“Kesemua mereka akan mengetengahkan tawaran mereka, gagasan, pandangan dan idea kepada para perwakilan.

“Saya fikir mereka (calon-calon itu) mempunyai wibawa dan berpotensi untuk diketengahkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH peringkat Negeri Sembilan, di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, hari ini,

Turut hadir, Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Taufek Abd Ghani; Ketua Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Muhammad Zaki Sabri; Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim dan Pengarah Konvensyen, Ahmad Qusyairi Abdull Rahim;

Di konvensyen itu turut diadakan sesi undian Pemilihan Jawatankuasa Pemuda AMANAH Negeri Sembilan dan Forum Pemuda Nasional bertajuk ‘Hala Tuju Pemuda Amanah Dalam Lanskap Malaysia Baharu’.

Barisan pimpinan Pemuda AMANAH di Konvensyen Pemuda AMANAH peringkat Negeri Sembilan, di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, hari ini,

Dalam pada itu, Sany turut mengingatkan anak buahnya bahawa Sesi Pemilihan Jawatankuasa Pemuda AMANAH Negeri Sembilan kali ini tidak akan ada yang kalah setandan, dan menang setandan.

“Kalau dulu kita tengok dalam Pas, Saudara Abbas Azmi yang kini Ketua Pemuda AMANAH Selangor, kita tengok memang kalah, kalah setandan dan menang pun, menang setandan.

“Cai yang kita tengok dalam Muktamar Pas dahulu, mereka bagi masa hari pengundian, tetapi hari ini kita dah nampak jelas siapakah calon dari Wibawa, Bekerja dan Bangkit.

“Saya juga telah menasihatkan kepada ketiga-tiga kumpulan ini bahawa pemilihan kali ini adalah pemilihan anak-beranak atau adik beradik.

“Walau apapun yang terjadi nanti, yang menang adalah Pemuda AMANAH Nasional, yang kalah juga adalah Pemuda AMANAH Nasional sebab itu selepas bulan 10 nanti, kita kena tumpukan gerak kerja dan mutu perkhidmatan kita kepada masyarakat,” katanya lagi.