Pemuda AMANAH tuntut polis siasat hubungan Nik Abduh dengan CIA

Pemuda AMANAH tuntut polis siasat hubungan Nik Abduh dengan CIA

Pemuda AMANAH Nasional menuntut polis menyiasat pengakuan Ahli Jawatankuasa Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mendakwa dirinya mempunyai hubungan akrab dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Sany Hamzan

Ketuanya, Sany Hamzan berkata, pengakuan anak Almarhum Nik Aziz Nik Mat itu dalam rakaman audio yang tular sebelum ini dibimbangi boleh mengancam kedaulatan negara.

“Apa keperluan Ahli Parlimen Bachok ini mempunyai hubungan sangat akrab dengan CIA sehingga dia katakan dia tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim pergi mana, apa program hari ini.

“Malah beliau juga tahu tentang Jokowi (Presiden Indonesia), apa program dia hari ini, dia buat apa pada hari ini.

“Ini mengundang keresahan kita sebagai rakyat Malaysia, jika benar kepimpinan beliau sendiri sebagai Ahli Parlimen dalam negara ini mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan CIA,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer, Selangor itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di ibu negara petang tadi.

Sementara itu, Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pengakuan Nik Abduh amat serius dan perlu disiasat secara menyeluruh.

“Kita menuntut satu siasatan menyeluruh berkenaan siapa dan maklumat apa yang telah dikongsi beliau kepada agensi perisikan tersebut,” katanya.

Shazni Munir Mohd Ithnin

Pemuda AMANAH Nasional juga, ujarnya, ingin tahu sama ada dakwaan hubungan tersebut adalah benar atau satu lagi siri ‘pembohongan syarie’ yang direstui Presiden Pas.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan mengakui suara dalam audio yang tular sebelum ini sebagai sah milik Nik Abduh.

Petikan pengakuan itu antaranya berbunyi, “Ana (saya) boleh bercakap dengan CIA Amerika tu, yang sentiasa berhubung dengan ana..”

Pemuda AMANAH Nasional bimbang hubungan akrab Nik Abduh dengan CIA boleh mengancam kedaulatan negara.