Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH Wilayah akan lapor polis isu timbalan menteri nikah online

Pemuda Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan akan membuat satu laporan polis terhadap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Laporan dibuat susulan dakwaan menteri Pas itu melanggar Undang-undang syariah berhubung perkahwinannya di Narathiwat yang dilakukan secara maya.

Ketuanya, Asmaaliff Abdul Adam berkata laporan akan dibuat pada jam 12 tengahari esok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Terdahulu, tular rakaman pernikahan melalui telefon yang didakwa membabitkan seorang Ahli Parlimen Kelantan dari Pas berserta dua saksi.

Video dan salinan sijil nikah tular di media sosial itu mengundang kecaman ramai kerana melangsungkan pernikahan ketika rakyat bergelut dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pihak Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Thailand dalam kenyataannya pula berkata, pihaknya tidak pernah mengiktiraf pernikahan secara dalam talian.

Timbalan Yang di-Pertuanya, Abdul Aziz Che Mamat berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan susulan dakwaan majlis akad nikah secara dalam talian itu.