Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH yakin Dr Hamdi akan memacu UKM lebih cemerlang

Pemuda AMANAH Nasional mengalu-alukan pengumuman pelantikan Profesor Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor sebagai Naib Canselor, UKM bermula 1hb Januari 2019.

Beliau merupakan pakar dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal yang dihormati dan disegani di peringkat antarabangsa dengan nilai h-index 33 dan mempunyai jumlah ‘citation’ semasa sebanyak 4,456.

Ketua Pemuda AMANAH Mohd Sany Hamzan dalam kenyataannya menyifatkan beliau sebagai seorang pentadbir yang sangat professional dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.

“Pemuda AMANAH mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mengambilkira merit bagi melantik Naib Canselor di UKM,” katanya.

Pelantikan ini katanya, merupakan satu tanda aras yang baharu dan wajar dipertimbangkan dalam menilai dan melantik Naib Canselor di seluruh universiti awam (UA) di Malaysia bagi memastikan UA dapat melahirkan modal insan yang kompetitif serta selari dengan hasrat dan dasar Kerajaan Malaysia.

Pemuda AMANAH yakin Dr. Mohd Hamdi selaku Naib Canselor akan memacu UKM ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi terutamanya sebagai salah satu Universiti Penyelidikan yang tersohor di tanah air dan seterusnya juga di pentas antarabangsa.

Terdahulu, perkhidmatan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali akan berakhir pada hujung tahun ini selepas kontroversi tindakan beliau menghalang wacana membabitkan aktivis sosial, Hishamuddin Rais.

Menerusi kenyataan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan melantik Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor sebagai Naib Canselor baharu bagi menggantikan Noor Azlan.