Malaysia Dateline

Pemuda AMANAH yakin Majlis Presiden esok tetapkan tarikh peralihan kuasa PM

Pemuda AMANAH Nasional yakin mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung esok akan mencapai kata sepakat bagi memastikan peralihan kuasa Perdana Menteri berjalan dengan lancar.

Pengarah Komunikasinya, Khairuddin Daud yakin penetapan tarikh selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), November nanti akan menjamin keharmonian kerjasama PH sekali gus mengekalkan kestabilan kerajaan.

“Walau bagaimanapun, Pemuda AMANAH Nasional menggesa agar Majlis Presiden menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk kerjasama dengan Umno dan Pas agar kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Harapan tidak terjejas sebagaimana harapan rakyat memberi mandat sewaktu PRU-14,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Kali terakhir Majlis Presiden PH bermesyuarat adalah tiga bulan lalu.

Difahamkan, pramesyuarat melibatkan enam pemimpin paling kanan PH bakal diadakan pada jam 8.30 malam sebelum disambung dengan mesyuarat Majlis Presiden.

Dalam hal berkaitan, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor turut menuntut Majlis Presiden PH supaya menetapkan satu tarikh khusus bagi peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Pengarah Komunikasi Pemuda PKR Selangor, Mohd Khairool Ngadon, berkata ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Pemuda PKR Negeri, Mohd Najwan Halimi.

Jelasnya, Anwar bersama Majlis Presiden PH pastinya berupaya memutuskan tarikh peralihan jawatan memandangkan wujud percubaan pihak tertentu dari dalam dan luar untuk menimbulkan suasana politik yang tidak menentu.

Baru-baru ini, Anwar mendakwa Ahli Parlimen Umno, Pas dan segelintir PKR menandatangani Akuan Bersumpah (SD) yang mahu Mahathir kekal memegang jawatan sebagai Perdana Menteri selama satu penggal.

Walau bagaimanapun, Mahathir dalam reaksinya berkata, SD yang mempunyai sokongan seramai 138 Ahli Parlimen itu tidak melibatkan dirinya.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 14 Februari lalu, turut menyatakan rasa hairan bagaimana wujudnya Ahli Parlimen seramai itu menandatangani SD tersebut.