Pemuda Bangkit bertekad rapatkan jurang parti, anak muda

Pemuda Bangkit bertekad rapatkan jurang parti, anak muda

WAWANCARA

Mukadimah

“Pemuda Bangkit, Pemuda Bekerja atau Pemuda Wibawa adalah jenama bersifat sementara. Kepentingan utama ialah kelangsungan Pemuda AMANAH itu sendiri.”

Itu penegasan Ketua Pemuda AMANAH Selangor, ABBAS AZMI yang mengetuai kumpulan Pemuda Bangkit sempena pemilihan sayap Pemuda AMANAH Nasional sebelum menjawab soalan yang diajukan wartawan Malaysia Dateline, ARIF ATAN.

Abbas yang juga Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Subang Jaya selanjutnya berkata, “suka untuk saya nyatakan pandangan ini mewakili Pemuda AMANAH dan komen berbentuk cadangan ini untuk semua Pemuda AMANAH.”

Menyentuh topik pengundi 18 tahun, beliau optimis cabaran itu boleh diatasi jika jurang antara ahli parti dan golongan remaja dan belia dirapatkan.

Tidak kenal maka tidak cinta. Jadi, pendekatan Pemuda AMANAH tidak harus bersifat menunggu anak muda selain pada masa sama memanfaatkan saluran dan institusi kerajaan.

Ikuti pandangan beliau dalam melihat bagaimana kepimpinan Pemuda AMANAH Nasional akan datang perlu memenangi hati pengundi muda seawal usia 18 tahun.

 

MALAYSIA DATELINE: Apakah tawaran Pemuda Bangkit untuk menghadapi pengundi seawal usia 18 tahun?

ABBAS AZMI: Untuk menghadapi pengundi muda berusia 18 tahun, perlu ada satu perbincangan khusus bagi mengenalpasti kaedah atau mekanisme tertentu yang melibatkan ahli politik, ahli akademik dan NGO berkaitan anak muda.

Pandangan semua pihak perlu diambil kira supaya pendekatan kita nanti tepat pada sasaran dan menghasilkan satu output yang berkesan. Ahli politik punya pandangan mereka sendiri, ahli akademik juga punya pandangan mereka begitu juga penggerak belia sama ada NGO atau berpersatuan juga punya pandangan mereka.

Justeru, perlu ada perbincangan meja bulat khusus mengenalpasti mekanisme yang sesuai bagi menarik sokongan dari belia berumur 18 tahun ini.

 

Apakah persediaan Pemuda Bangkit dalam pelaksanaan daftar mengundi bermula dari umur 18 tahun?

Pendaftaran pengundi muda ini seperti yang telah diputuskan menggunakan kaedah pendaftaran automatik. Perlunya kaedah untuk memberi kesedaran kepentingan mengundi sama ada ketika PRU atau PRK kepada belia muda ini.

Jika hanya membiarkan sahaja pendaftaran automatik ini sahaja tanpa memberi kesedaran atau menanam rasa tanggungjawab kepada mereka, maka usaha ini akan gagal. Kempen melalui media sosial dan di saluran media massa lain perlu dipertingkatkan.

 

Bagaimana Pemuda Bangkit mampu untuk menarik sokongan remaja kepada parti AMANAH ketika trend golongan itu semakin tidak terikat pada sentimen kepartian?

Tidak dinafikan belia kini tidak berminat untuk bersama parti politik. Mereka mahu bebas berfikir dan memberi pandangan tanpa ada ikatan kepartian. Pemuda AMANAH perlu dilihat bersama dalam arus politik perdana terutama isu-isu melibatkan belia.

Saya melihat dalam Pemuda AMANAH ini mempunyai bakat-bakat yang boleh diketengahkan dalam banyak segmen. Ada yang mempunyai kepakaran mengulas isu ekonomi, sukan, keagamaan,kebudayaan, teknologi maklumat, robotik dan lain-lain lagi.

Perlu didedahkan bakat-bakat ini supaya Pemuda AMANAH dilihat mempu menguasai bidang yang saya sebutkan tadi.
Pendekatan yang mesra anak muda, tanpa memperlihatkan secara langsung imej kepartian serta mudah didekati.

Jurang antara Pemuda AMANAH dan anak muda perlu dirapatkan. Pemuda AMANAH mesti bersedia untuk bersama dalam aktiviti berpersatuan dan aktiviti yang akan dijalankan mestilah sesuai dengan dunia mereka.

Pemuda AMANAH tidak boleh lagi selesa dalam kelompok sesama sendiri lagi. Perlu keluar untuk bersama mereka. Keberadaan Pemuda AMANAH mesti dirasai oleh belia muda ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.

 

Tidakkah penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun berisiko kepada PH sebagai parti pemerintah memandangkan individu usia terlalu muda cenderung tidak ‘setia’ kepada parti sebaliknya bersikap anti-establishment?

Risiko penurunan had umur ini terutama cabaran untuk mendapatkan sokongan mereka tetap ada. Bagaimanapun PH (Pakatan Harapan) kini adalah kerajaan di Persekutuan.
Agensi belia misalnya yang ada di Kementerian Belia dan Sukan atau majlis sukan negeri perlu digunapakai. Program belia boleh menggunakan platform agensi kerajaan bagi memastikan kehidupan anak muda diberi perhatian.

Seperti yang saya nyatakan tadi, jurang antara ahli parti dan belia boleh dirapatkan dengan menggunakan platform agensi kerajaan atau persatuan belia.

Bukan bermaksud parti politik seperti AMANAH menyalahgunakan kemudahan agensi kerajaan ini, tetapi platform agensi-agensi ini boleh dimanfaatkan untuk mendekati belia.

Ya, jika pendekatan kita tidak mesra anak muda atau kita hanya mahu mereka datang menerima kita sahaja, maka kita akan ditinggalkan oleh kelompok ini. Tetapi jika kita pergi kepada mereka dan sentiasa dirasai keberadaan kita dengan mereka saya yakin mereka akan terus menyokong kerajaan dan ruang ini tiada pada pembangkang.

Pada masa sama, kita lihat pendekatan pembangkang kepada mereka masih menggunakan cara lama. Umno masih mahu menanamkan sifat taksub kepada bangsa manakala Pas masih cuba mendoktrinasikan dengan agama.

Pastinya dalam keadaan Malaysia sekarang, pendekatan kedua-dua parti pembangkang itu bukan pendekatan terbaik untuk belia memandangkan mereka tidak mahu dikongkong dengan satu aliran sahaja.

 

Tidakkah sikap BN yang turut menyokong polisi daftar mengundi bermula dari umur 18 tahun seperti memberi kelebihan kepada pembangkang?

Pindaan Rang undang undang had umur ini menjerat BN sebenarnya, jika mereka menolak akan memperlihatkan ketidak keterbukaan mereka kepada belia.

Mahu tidak mahu, mereka terpaksa menyokong usul had umur ini. Dalam masa sama, mereka juga akui mereka tidak ada ruang yang besar lagi untuk mendekati anak muda ini.

Disamping masalah dalaman mereka yang tidak berkesudahan, masih mencari rentak sebagai pembangkang, maka mereka tidak punya masa untuk memikirkan kaedah untuk mendapatkan sokongan dari golongan ini.

Cuma kitalah sebagai kerajaan perlu bijak mendekati mereka dan sekarang ini ruang ini terbentang luas kepada Pemuda PH. Pandai atau tidak sahaja kita menggunakan ruang dan peluang ini.