Pemuda Bekerja tekad lebarkan pengaruh di tiga negeri majoriti Melayu

Pemuda Bekerja tekad lebarkan pengaruh di tiga negeri majoriti Melayu

Melebarkan pengaruh di negeri-negeri majoriti Melayu di Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah menjadi antara lima teras gagasan Pemuda Bekerja.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata demikian semasa Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Tawaran #PemudaBekerja di ibu negara semalam.

Menurut calon dari pasukan Pemuda Bekerja itu, AMANAH menghadapi cabaran pada pilihan raya umum akan datang untuk memenangi hati pengundi Melayu terutama golongan muda.

“Kalau AMANAH kuat di negeri-negeri ini (majoriti Melayu) dan menang (pilihan raya umum), maka kita akan mampu untuk tampilkan kekuatan politik sebenar AMANAH.

“Sebab itu, Pemuda tidak apologetik. Kita sebutkan kita mahu mengukuhkan AMANAH di negeri-negeri ini,” tegas mantan aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM) tersebut.

Untuk rekod, Pemuda AMANAH telah memenangi tujuh daripada 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tahun lalu.

Daripada 222 kerusi Parlimen, terdapat 117 kerusi di kawasan Melayu luar bandar di Semenanjung Malaysia termasuk 52 di kawasan Felda yang dianggap sebagai kawasan teras pengundi Melayu.

Pada PRU-14, AMANAH gagal memperolehi sebarang kerusi DUN dan Parlimen di Kelantan dan Terengganu. Bahkan, kebanyakan calon hilang wang pertaruhan walaupun diberi kepercayaan menerajui PH di kedua-dua negeri pantai timur itu.

Di Kedah pula, AMANAH hanya menyumbang empat daripada 18 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen manakala Pas mendapat 15 kerusi DUN sekali gus mencatatkan pencapaian tertinggi parti itu sepanjang sejarahnya di Kedah.

Shazni Munir Mohd Ithnin

Sehubungan itu, Shazni berkata, inisiatif tiga serangkai di semua kawasan Parlimen meliputi aktiviti pendidikan politik, kesukarelawan politik dan kempen keahlian dalam kalangan anak muda akan digerakkan.

Jelas Pengarah Mobilisasi Pemuda AMANAH Nasional itu, kesukarelawanan politik penting kerana masyarakat pada hari ini tidak bercakap tentang hal berkaitan kebendaan semata-mata.

Beliau juga berpendapat Pemuda AMANAH perlu mendekati mahasiswa melalui program kesukarelawanan yang terdiri daripada pelbagai lapangan.

“Kita harus mulakan dengan anak muda yang meminati program kesukarelawanan yang mahu menawarkan bakti dekat bersama kita,” katanya.

Dalam masa sama, ujarnya, Pemuda Bekerja menekankan pendekatan bersifat gerak kerja turun ke lapangan menemui masyarakat akar umbi.

“Pemuda AMANAH perlu menjadi parti yang menjalar di kampung-kampung,” kata Pengurus Besar Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) itu lagi.

Shazni ketika mengupas tawaran Pemuda Bekerja.

Turut hadir dalam majlis pelancaran di SkyArk, Taman Wahyu itu ialah Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain itu, perwakilan Armada, AMK dan Dapsy serta bekas calon Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu, Dr Ahmad Termizi Ramli.

Pemuda Bekerja memperkenalkan 27 calon yang akan bertanding dalam pemilihan sempena Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional pada 26 dan 27 Oktober ini.

Pasukan itu tampil dengan tawaran gagasan 531 iaitu lima teras utama bagi memandu Pemuda AMANAH untuk tempoh tiga tahun mendatang di bawah satu pasukan yang bersatu dalam kepelbagaian.

Dua pasukan lagi yang bakal berentap ialah Pemuda Bangkit diketuai Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi manakala Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim mewakili kumpulan Pemuda Wibawa.

Pemilihan sayap Pemuda AMANAH Nasional buat pertama kali selepas AMANAH ditubuhkan pada 16 September 2015 dilihat penting sebagai gambaran pemilihan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pelancaran 531 oleh Pemuda Bekerja mendapat sambutan menggalakkan.