Pemuda disyaki cabul budak perempuan ketika solat Subuh di masjid sudah ditahan?

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan menjadi mangsa cabul ketika sedang mengerjakan solat Subuh di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali, Selangor awal pagi tadi.

Kejadian itu hangat dibicarakan oleh pengguna media sosial Facebook selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden berkenaan tersebar di platform tersebut.

Berdasarkan rakaman CCTV, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 6.40 pagi di mana pelaku yang memakai baju berwarna kuning dan berkopiah dilihat mengintai ruang jemaah wanita di sebalik pintu gelongsor atau ‘sliding door’.

Selepas menunggu waktu yang sesuai, pelaku bertindak pantas dengan mengangkat mangsa ketika kanak-kanak perempuan itu sedang solat bersendirian di saf kedua wanita sewaktu jemaah lain sedang sujud.

Mangsa kemudian dibawa oleh pelaku ke ruangan lain di masjid berkenaan dan bertindak melakukan perbuatan cabul sebelum melarikan diri selepas kanak-kanak malang terbabit melawannya.

Dalam perkembangan terbaharu, wakil masjid berkenaan mengesahkan kejadian berlaku termasuklah tangkapan suspek yang sudah dibuat ketika dihubungi oleh pihak media namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Terdahulu, rakaman memaparkan perbuatan pelaku yang meraba, memeluk dan cuba melondehkan seluar mangsa telah membangkitkan kemarahan orang ramai serta menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

Rata-rata pengguna berharap agar hukuman paling berat dikenakan ke atas pelaku selain memberi nasihat kepada para ibu bapa di luar sana supaya mengajar anak-anak menjerit sekuatnya jika berlaku perkara berbahaya.

Tinjauan kami mendapati rakaman asal yang dimuat naik lebih awal di aplikasi Facebook telah dipadam untuk menjaga aib dan sensitiviti mangsa namun dikongsikan semula oleh pengguna platform media sosial lain.

Baca juga: Juruterbang kongsi ‘trick’ macam mana nak dapat tiket kapal terbang murah