Pemuda DAP desak Pas henti lakukan politik fitnah

Pemuda DAP desak Pas henti lakukan politik fitnah

Ketua Pemuda DAP Howard Lee sekali lagi menyatakan pendirian partinya dan Pakatan Harapan terhadap Perlembagaan negara.

Beliau mendesak agar pemimpin Pas henti melakukan politik fitnah terhadap partinya.

“Pendirian Pakatan Harapan (PH) selari dengan segala yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan berubah sama sekali.

“DAP akur dengan pendirian ini 100 peratus.

“Jika ada mana-mana pihak termasuk sesetengah pemimpin Pas cuba menafikan atau memfitnah kami, tiada lain yang boleh dibuat selain mengharapkan Tuhan sahaja yang akan membalas perbuatan mereka,” kata dalam kenyataan semalam.

Howard membuat kenyataan itu selepas dicabar Timbalan Ketua Pemuda Pas Khairil Nizam Khirudin agar DAP membuat pengisytiharan berhubung kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera serta Raja-raja Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Khairil membuat cabaran itu sebagai mengulas laporan polis yang dibuat Pemuda DAP terhadap Ketua Pemuda Pas Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Laporan polis itu dibuat berhubung tuduhan Muhammad Khalil bahawa DAP sebagai parti politik yang anti-Islam.

Howard dalam kenyataannya menyahut cabaran Khairil dan mengulangi pendirian partinya berhubung isu yang dibangkitkan.

“Saya ulangi pendirian kami seperti berikut: Agama Islam sebagai agama Persekutuan akan terus dimartabatkan, diangkat dan dipertahankan oleh Pakatan Harapan dan DAP.

“Perkara 152 Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan, itu akan terus dipertahankan.

“(Dan) Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum kaum yang lain tidak akan dipersoalkan,” katanya.

Howard yang merupakan Adun Pasir Pinji juga memetik titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di istiadat mengadap sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-62 baginda pada 4 November lalu.

Titah Sultan Nazrin yang dimaksudkan Howard ialah: “Rakyat mengimpikan pemerintahan yang menghormati kesaksamaan gender – kesaksamaan kaum – kesaksamaan agama – kesaksamaan wilayah;… dan rakyat mengimpikan sebuah negara yang bebas daripada kekacauan dan persengketaan, agar warganya hidup dalam harmoni – saling menghormati – saling bekerjasama, tanpa dipisahkan oleh tembok prejudis agama dan prasangka kaum. Kerajaan yang menjadi pilihan rakyat dan kerajaan yang akan terus mendapat sokongan rakyat ialah kerajaan yang dapat memenuhi impian dan hasrat majoriti rakyat.”

Jelas Howard, titah Sultan Nazrin itu sekian lama merupakan apa yang diperjuangkan PH dan DAP.

Maka, kata Howard, tindakan Pas menuduh PH dan DAP hendak membuang institusi istana boleh dianggap sebagai menderhaka kepada Raja-Raja Melayu.

“Bagi saya, ini merupakan tohmahan yang bersifat menderhaka dan menghina kebijaksanaan Duli-duli Tuanku Raja-raja Melayu, serta memperlekehkan dan memperkecilkan keagungan Institusi Istana secara khusus- serta Perlembagaan Persekutuan secara amnya.

“Hujah perkauman, cauvinistik dan fitnah daripada Umno dan PAS adalah perkara yang biasa.

“Akan tetapi, seruan saya kepada Pemuda Pas, adalah jangan sekali-kali menakut-nakutkan pengundi dengan menyalah gunakan nama Duli-duli Tuanku dan mencemar kesucian institusi diraja,” katanya.