Malaysia Dateline

Pemuda DAP harus hormati Bahasa Kebangsaan

Tindakan Pemuda Dap (Dapsy) Sarawak menampal perkataan Cina pada tiga papan tanda jalan di Kuching, Sarawak amat dikesali kerana ia tidak menghormati Bahasa Kebangsaan.

Malah tindakan sedemikian mampu mengundang salah faham dikalangan masyarakat lain didalam negara ini terutamanya orang Melayu yang boleh di api-apikan oleh segelintir pihak untuk menyemarakkan sentimen perkauman.

Demikian dinyatakan oleh Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil.

Jelas beliau sebagai bahasa rasmi negara ini, Bahasa Melayu merupakan tunjang kepada perpaduan masyarakat majmuk negara ini dan seharusnya Dapsy lebih peka terhadap keperluan tersebut dalam membina sebuah negara bangsa yang makmur dan berdaya saing.

Malah katanya, sebagai golongan muda mempromosi dan membina perpaduan dikalangan rakyat negara ini kini menjadi keutamaan perjuangan.

“Alasan yang diberikan dengan alasan bagi memudahkan pelancong asing terutamanya dari negara China adalah alasan remeh kerana setiap pelancong perlu menghormati Bahasa Kebangsaan sesebuah negara.

” Sudah pasti pelancong luar juga mahu mengenali Bahasa Kebangsaan negara yang mereka kunjungi dan inilah masanya kita sebagai rakyat Malaysia mempromosikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta pada masa yang sama mempamirkan jatidiri sebagai rakyat Malaysia yang berbangga dengan bahasanya sendiri.

“Sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, tindakan Dapsy tersebut merupakan tindakan yang tidak berperlembagaan dan melanggar Akta Bahasa Kebangsaan 1963 serta juga suatu perbuatan vandalisme, “ujar Faiz.

Oleh itu tambah beliau tindakan pencegahan atau ‘deterrent’ perlu diambil dan Dapsy perlu meminta maaf diatas keterlanjuran perbuatan tersebut. Sebaliknya tulisan Bahasa Cina sebagai bahasa ibunda kaum Cina hendaklah digunakan pada premis yang sesuai dan mengikut keperluan dalam menghormati hak setiap kaum negara ini.