Malaysia Dateline

Pemuda DAP ingatkan Umno tidak jadi parti lembik demi survival

 

Pemimpin Umno disarankan agar menerima hakikat kekalahan dan tidak membuang masa berbincang dengan Pakatan Harapan demi survival parti itu, kata Naib Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Muhammad Shakir Ameer.

Beliau berkata, asas prinsip demokrasi adalah pertarungan di antara pihak mana yang memiliki undi terbanyak namun, hanya beberapa bulan selepas kekalahan Umno-BN pada PRU 14, berlaku penghijrahan ahli Umno-BN untuk menyertai parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Umno tidak usah membuang masa berbincang dengan pelbagai pihak demi ‘survival’ parti tersebut. Terimalah hakikat dengan rela hati dan kerjalah dengan kuat untuk rakyat supaya mendapat kepercayaan semula.

“Umum mengetahui bahawa 52 tahun DAP menjadi parti pembangkang. Namun kami mampu memberikan perkhidmatan baik kepada rakyat tanpa mengira bilangan kerusi di Parlimen atau DUN mana-mana negeri atau keupayaan kewangan.

“Selama ini Umno cuba menimbulkan momokan bahawa Sdr. Lim Kit Siang adalah seorang rasis yang jahat khususnya kepada orang Melayu sekaligus menimbulkan naratif bahawa beliau ingin menjadi Perdana Menteri namun beliau tidak berminat untuk memasuki jemaah menteri dan cuma ingin menjadi ahli parlimen sahaja,” ujarmya dalam kenyataan.

Muhammad Shakir turut berkata, tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada Oktober lalu yang menyatakan sokongan kepada bakal Perdana Menteri ke-8 Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dangkal apabila meletakkan syarat.

“Sekarang Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menyatakan sokongan Umno kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bersama beberapa syarat. Siapakah Nazri untuk membuat syarat dengan bilangan Ahli Parlimen yang semakin mengecil?

“Sebelum PRU ke 14 lagi perjanjian di antara parti-parti Pakatan Harapan telah dimuktamadkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri ke-8 pada tahun 2020 nanti. Sokongan dari PH sudah memadai. Kami tidak perlukan Umno.

“Kami juga ingin menyatakan bahawa DAP tidak akan sesekali bekerjasama dengan Umno. Kami tidak akan melupakan kesusahan Yang ditimbulkan oleh Umno kepada parti DAP selama ini.

“Pengalaman ini hanya akan membuatkan parti DAP lebih kuat dan memastikan kami tidak mengikut jejak langkah Umno.

“Adalah lebih baik jika Umno mulai cerminkan diri sendiri dan insaf akan keburukan yang dilakukan sepanjang tempoh di tampuk kuasa. Jika tidak ingin sedar diri maka biarlah UMNO dikuburkan dengan sendiri,” tegasnya.