Malaysia Dateline

Pemuda DAP Kuching tampal perkataan Cina di tiga papan tanda jalan

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kuching hari ini menampal perkataan bahasa Cina di tiga papan tanda jalan di sekitar ibu negeri Sarawak itu.

“DAPSY Kuching memasukkan karakter Cina untuk papan tanda Jalan Main Bazaar, Jalan Wayang, dan Jalan Greenhill yang telah ditinggalkan oleh dewan (Dewan Bandaraya Kuching Utara),” tulis Facebook DAP Sarawak dalam bahasa Inggeris.

Sementara itu, terjemahan bahasa Cina di atas bahasa Inggeris itu bermaksud:

“Hari ini, ditemani oleh Comrade Chan Kwok-yang, kumpulan belia dan pasukannya pergi ke Hai Lip Street, Hua Hang Street dan Castle Peak Road untuk memulihkan papan tanda jalan di bandar Kuching dengan peranan sejarah dan budaya untuk papan tanda jalan dwibahasa.”

Mengulas tindakan mereka menambah perkataan Cina itu, bekas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan mengakui kecewa dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang dianggap tidak menyedari kepentingan papan tanda jalan pelbagai bahasa.

“Di kawasan berhampiran Muzium Sejarah Cina di Tebingan Kuching misalnya, ada keperluan untuk mempunyai papan tanda jalan dalam bahasa Melayu dan Cina kerana kita menjangkakan ramai pelancong Cina datang ke kawasan tersebut,” lapor Utusan Borneo.

“Sarawak telah lama menjadi tempat pelbagai budaya kepada pelbagai kumpulan rakyat yang hidup aman damai antara satu sama lain.

“Kita berharap keunikan ini dicerminkan dalam banyak perkara seperti papan tanda jalan di seluruh negeri,” katanya.

Turut serta menampal perkataan Cina di papan tanda jalan itu ialah Ketua DAPSY Kuching, Dapne Ting dan ahli DAPSY Kuching.

Untuk rekod, Tan, 42, adalah jurutera dan penyelidik aeroangkasa yang memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari Universiti Tunku Abdul Rahman sebelum menceburkan diri dalam politik.