Malaysia Dateline

Pemuda Harapan kesal 3 Menteri PN berkaitan tidak pertahan Veveonah

Pemuda Harapan Terengganu melahirkan rasa kesal terhadap tiga Menteri Perikatan Nasional (PN) yang berdiam diri dari membela nasib Veveonah Mosibin yang ketika ini dikatakan menjadi mangsa buli dua Timbalan Menteri di Kabinet Muhyiddin.

Menerusi kenyataannya, Pemuda Harapan Terengganu mendakwa sehingga kini tidak kedengaran suara lantang dari Menteri yang bertanggungjawab mempertahankan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu.

“Mendukacitakan, Kementerian Pengajian Tinggi seolah-olah bisu untuk membela nasib Mahasiswa terbabit.

“Suara lantang dari Menteri dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga langsung tiada kedengaran.

“Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) juga menyepi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali; Ketua Pemuda Harapan Terengganu, Hasbie Muda; dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Nazhan Zulkifli

Dalam pada itu, sayap pemuda Negeri menggesa agar tindakan membuli Mahasiswa dihentikan lebih-lebih lagi ia memaparkan sikap kerajaan yang langsung tidak mengendahkan realiti sebenar masalah yang dihadapi Mahasiswa luar bandar.

Mereka juga menuntut agar kedua-dua Timbalan Menteri PN memohon maaf kepada Veveonah selain segera menyelesaikan masalah isu akses internet terutama di luar bandar.