Pemuda Ikatan gesa hukuman berat terhadap pesalah sindiket pemalsuan MyKad

Pemuda Ikatan gesa hukuman berat terhadap pesalah sindiket pemalsuan MyKad

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa hukuman yang berat dikenakan kepada pegawai-pegawai kerajaan berpangkat tinggi jika terbukti bersalah berhubung kes kegiatan menjual MyKad kepada warga asing China di Pulau Pinang.

Ketuanya, Shahir Adnan, berkata hukuman berat itu setimpal untuk memberi pengajaran kepada semua bahawa isu MyKad bukan sekadar sekeping kad yang boleh dipandang remeh.

“Sehingga hari ini, dilaporkan penahanan telah dibuat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“DPIM turut mencadangkan agar Kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak menghapuskan akta ini sebagaimana hasrat sesetengah pihak yang melobi untuk menghapuskan SOSMA kerana dianggap zalim.

“Hari ini terbukti bahawa SOSMA diperlukan untuk menyiasat kes pengkhianatan negara seperti sindiket MyKad,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shahir, pemegang MyKad secara automatik adalah warganegara Malaysia yang mempunyai keistimewaan tersendiri di mana seseorang itu layak untuk memilih pemimpin untuk menerajui negara.

Justeru itu, beliau menyifatkan penipuan MyKad tersebut sebagai satu pengkhianatan kepada negara dan rakyat Malaysia.

“Tahniah diucapkan kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) kerana bertindak pantas menjalankan operasi khas membongkar sindiket pemalsuan MyKad.

“Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) turut digesa untuk menyiasat salah laku ini agar rasuah dan salahguna kuasa dapat dibanteras di dalam perkhidmatan awam negara, selari dengan hasrat Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya lagi.