Seorang pemuda mendakwa pangsapuri kos rendah atau flat yang dihuni kebanyakan kaum Cina di negara ini lebih bersih dan tersusun berbanding flat didiami majoriti kaum Melayu.
Ini kerana berdasarkan pengalamannya melihat perumahan flat sekitar Pulau Pinang, dia mendapati keadaan bangunan di sana walaupun lusuh dari luaran tetapi rupanya sangat bersih di bahagian koridor hadapan rumah.
Pemuda yang bernama Kamal Hassan itu berkata, persatuan penduduk kaum Cina di sana amat menjaga kebersihan perumahan, di mana ia jauh bezanya dengan perumahan flat Melayu.
“Aku pernah pi flat majoriti Cina di Penang buat kerja lapangan, walaupun cat lusuh dari luaran tapi agak bersih, koridor depan rumah bersih tersusun. Persatuan flat jaga kawasan.
“Bahkan semua guna duit sendiri untuk baiki kerosakan seperti pemegang tangga dan gutter hujan.
“Mereka tak harapkan kerajaan. Anak-anak dah berjaya pun masih duduk flat Penang sebab selesa,” katanya dalam satu perkongsian di laman kumpulan Facebook B40 Buat Perangai Apa Harini, awal tahun lalu yang tular semula.
Kata Kamal, situasi yang dilihatnya itu jauh berbeza dengan flat yang didiami bangsanya sendiri kerana kebanyakan flat berada dalam keadaan kotor dan busuk.
Dia juga menganggap anak-anak Melayu sebagai suka berkeliaran hingga pagi buta dan merosakkan kemudahan awam seperti lif
Bahkan jika ada bangkai haiwan mati di hadapan rumah sekalipun, dakwanya, tiada siapa yang akan ambil dan buang.
“Kawasan flat bangsa yang garam pun nak logo halal pula kotor, busuk, anak-anak berkeliaran sampai pagi buta jahanamkan lif dan kemudahan awam.
“Kalau ada bangkai tikus depan koridor rumah tu, sampai berulat pun tak nak buangkan, terlalu ‘high class’.
“Persatuan penduduk tak berfungsi. Kerjanya berpolitik, klepet duit tabung persatuan akhir tahun sebelum hulur ke AJK baru.
“…bolot duit bantuan kerajaan bagi geng-geng sendiri. Merungut berhak dapat kondo/banglo dari kerajaan,” katanya.
Perkongsiannya itu kemudian mengundang pelbagai reaksi dari kalangan pengguna Facebook yang menyokong dan ada yang bertindak membidas pemerhatian serkap jarang tersebut.
Seperti yang dikongsi seorang pekerja penghantar barangan, Muhammad Fadzhirul, dia mengakui kebenaran di sebalik kenyataan pedas yang dilemparkan tuan tanah (pemilik posting).
Menurutnya, kebanyakan kawasan program perumahan rakyat (PPR) dihuni kaum bukan Islam adalah lebih bersih, namun flat dihuni orang Melayu Islam juga banyak yang bersih dan kemas.
“Saya hari-hari kerja hantar parcel, main kawasan Kuala Lumpur. Memang ada kebenarannya. Kalau nama flat, PPR, dihuni kaum non muslim lebih bersih.
“Tapi ini bukan masalah kaum, bangsa, tapi mentaliti masyarakat dari kaum itu sendiri. Ada je flat dari orang muslim yang bersih. Mereka jaga dengan baik,” komennya.
Baca juga: Naik berang air lambat sampai, pelanggan tumbuk muka pekerja kedai asam pedas