Malaysia Dateline

Pemuda ini pesan jaga 7 adab bila berhutang supaya hubungan silaturahim berkekalan

Jika anda kesempitan wang dan mahu berhutang dengan kawan, jiran dan saudara hendaklah jaga 7 adab ini apabila berhutang supaya hubungan silaturahim anda dan kawan berkekalan.

Pemuda ini melalui facebooknya Mohd Fadhli Salleh telah berkongsi 7 adab yang perlu dijaga jika kita mahu berhutang dengan sesiapa sahaja.

Hidup kita, ada turun naiknya. Masa sempit dan terdesak, terkadang kita perlu meminjam dengan kawan. Suka aku ingatkan, bila berhutang tolong jaga adab-adab berhutang agar hubungan berkekalan.

1) Tepati janji.

Bila berjanji nak bayar sekian-sekian hari, maka tepatilah. Aku pernah berhutang bila terdesak. Bila aku janji nak bayar hari gaji, aku langsaikan semua sekali walau aku tahu baki itu tidak mencukupi.

Bayar dulu, dan hutanglah lagi. Sangat perlu kecilkan nilai hutang seterusnya. Contoh kau hutang seribu, bayar dulu seribu walau baki tinggal rm100 sahaja.

Nak teruskan hidup, pinjam jangan lebih dari nilai asal. Contohnya cukup sekadar 5-6 ratus. Gaji seterusnya, bayar semua sekali terus sekali lagi. Masa ni kalau tak cukup pun sekadar seratus dua sahaja.

Masuk bulan ketiga, dah mampu bayar semua tanpa perlu hutang semula. Senang kan? Kawan pun rasa tenang bagi kau hutang bila kau jenis yang tepati janji.

2) Maklumkan segera bila tak mampu tepati janji.

Adakalanya, bila kita buat janji sekian-sekian hari, kita tak mampu nak tunaikan atas pelbagai sebab yang tak dapat dielakkan.

Sebaik kita pasti tak dapat tunaikan pada hari yang dijanjikan, maklumkan awal-awal. Jangan sampai kawan kita tertunggu-tunggu. Jangan diam sahaja atau tunggu kawan yang minta.

Cakap elok-elok, minta maaf banyak-banyak. Minta satu tarikh baru yang boleh kau tepati janji. Jangan amalkan selalu bertangguh seperti ini.

Sesekali boleh, tapi pastikan maklum awal. Jangan tangguh berkali-kali dan heret masa lama sangat dari tarikh asal.

Ini penting untuk pastikan kepercayaan orang pada kita kekal selamanya.

3) Jangan blok pemberi hutang. Jangan tak angkat call. Jangan tak balas whatsapp.

Jawab panggilan jika kawan hubungi minta hutang

Ini pun pantang besar juga. Bila tak mampu bayar, dia blok pemberi hutang. Malah jika kawan tu call, dia cancel dan tak angkat.

Wasap pula tinggal blue tick sahaja. Marahlah orang. Memang mengundang makian kalau buat gini.

Jawab panggilan, reply whatsapp elok-elok. Lebih elok pergi berhadapan dan jelaskan situasi sebenar. Minta maaf pula. Baru pemberi hutang tidak terasa hati.

4) Ungkap maaf, terima kasih.

Ini sangat penting. Bila orang beri hutang, ucap terima kasih. Satu ucapan ringkas yang mampu memberi senyuman pada kawan.

Bila tak mampu bayar, atau tangguhkan tempoh bayaran, minta maaf elok-elok. Bukan ego dan berlagak pula.
Sebaik hutang diselesaikan, ucap juga terima kasih atas pertolongan kawan itu. Adab ini kena jaga. Ingat ya!

5) Jangan sindir-sindir pemberi hutang.

Ada segelintir peminjam ini jenis suka menyindir. Masa dia nak berhutang bukan main lagi lembut lidah. Dah dapat hutang, nak bayar pun liat. Bila kawan tu minta, disindir pula kita depan muka atau di alam maya.

“Alah. Setakat hutang RM50 pun kecoh. Tu pun nak bising-bising. Apa guna kawan entah!”

Amboi kau. Sedapnya mulut. Dia bagi pinjam sebab anggap kau kawan. Dia minta sebab kau tu tak pandai tunai janji. Itu hak dia, dia layak minta.

Jenis ni sangat teruk. Orang dah berbudi, dia balas dengan caci.

6) Jangan bermewahan selagi hutang tak settle.

Pemuda ini pesan jagalah 7 adab ini bila berhutang supaya hubungan silaturahim berkekalan
Selesai dahulu hutang sebelum bermewah

Hal ini menyebabkan pemberi hutang marah. Dah la hutang mereka dia kita diamkan sahaja, kita pula bermewah-mewah.

Selalu tengok wayang, makan restoran mahal, beli pula pakaian berjenama dan melancong sini sana.
Amboi, hutang orang banyak alasan. Kau punya berbelanja macam saitan.

7) Jangan mengungkit.

Jangan sesekali mengungkit untuk melepaskan diri dari hutang. Kau hutang, kau bayar. Itu sifirnya. Itu tanggungjawab kau yang kau dah setuju dulu.

Ada yang suka mengungkit kebaikan mereka suatu ketika dulu.

“Dulu masa sama-sama susah, aku selalu belanja dia tu makan. Beli barang dapur, bayar sewa rumah. Sekarang aku susah, pinjam RM500 je pun kecoh minta dah.”

Aduh bang. Budi kau dulu tu kau yang taburkan. Sekarang ini soalnya tentang hutang. Jangan berhutang kemudian mengungkit kisah lama.

Kalau begitu baik jangan minta pinjam. Minta terus. Ungkit sewaktu meminta. Senang. Bila dia beri, itu dah tak kira hutang tau. Dia pun takkan tuntut balik.

“Kau ingat tak Karim? Masa kita susah dulu berus gigi aku pun aku kongsi lagi. La ni aku susah, kau senang. Bak seribu bagi aku boleh? Bukan nak pinjam, aku nak minta terus.”

Kan senang terus terang gitu. Dia beri, rezeki kau. Dia tak beri, kau cari kawan lain. Itu kawan yang tak kenang budi. Simple je sebenarnya.

Itu tujuh adab berhutang yang aku susun untuk kita baca dan ambil iktibar jika ada.

Ingatlah, bila kita berjanji orang akan berharap. Kau janji nak bayar 25hb, maka 24hb kawan tu tak risau nak berbelanja sebab yakin 25hb duit dia akan dapat pula.

Sekali kau mungkiri janji, hidup dia pula terkapai-kapai. Dia pula terpaksa meminjam sebab kau tak bayar hutang dia.

Maka hidup kau sentiasa dalam caci maki orang. Mana nak berkat hidup kita kalau asyik kena maki dan kena doa yang buruk-buruk. Doa orang teraniaya ni tiada hijab okeh.

Kena juga ingat, kawan tu beri kau hutang kerana anggap kau kawan. Jangan khianati sebuah persahabatan yang dia taruh kepercayaan.

Sekali khianat, selamanya orang akan ingat.

Begitulah.

Zaman sekarang orang yang memberi hutang malu kepada yang berhutang

Baca juga: Khemah Besar: PH, AMANAH perlu waspada dengan Pejuang berbanding Muda, Warisan