Malaysia Dateline

Pemuda ini tak menyesal berhenti kerja dari Singapura, dakwa kerja di Malaysia lagi seronok, kurang tekanan

Tidak seperti diduga, seorang pemuda yang pernah bekerja di Singapura mengakui bahawa kerja di negara kelahiran sendiri iaitu Malaysia lebih menyeronokkan berbanding kerja di negara orang.

Walaupun kadar mata wang di republik itu mencatat lebih empat kali ganda nilainya berbanding ringgit, namun individu yang dikenali sebagai Tuan Haiyum Salim ini tidak menyesal apabila memutuskan untuk pulang ke Malaysia dan bekerja di sini.

Haiyum yang sebelum ini bekhidmat di Jurong East, Singapura, berkata, banyak faktor yang mempengaruhi keputusan yang diambil antaranya memikirkan keluarga yang duduk berjauhan dan tekanan yang besar.

Walaupun gaji pokok agak rendah di Malaysia, namun baginya jumlah perbelanjaan yang digunakan sama ada di Malaysia mahupun di Singapura tetap sama.

“Sekarang ini gaji asas di Singapura 1,500 SD, di Malaysia pun RM1,500. Sebenarnya sama sahaja. Cuma janganlah kita ambil 1,500 Dollar tu kita tukar dengan di sini. Memanglah nampak besar. Tapi sebenarnya bila saya kata sama tu, orang Malaysia yang kerja di Singapura tu dia tetap nak kena makan, kena bayar MRT, bas.

“Di Malaysia, saya pun ada kawan yang berpendapatan RM1,500 juga. Cuma bezanya yang saya nampak ialah kehidupan. Walaupun kita nampak perbezaan nilai mata wang, tapi sebenarnya kehidupan yang kita nak cari,” katanya dalam satu video di TikTok.

Pada masa sama dia berkata, walaupun nilai mata wang di sana lebih besar, namun pada akhirnya semua mahukan kehidupan yang gembira.

Dia membandingkan kehidupannya dengan rakan-rakan lain di Malaysia di mana walaupun mereka bergaji kecil, tapi kehidupan mereka bahagia dengan keluarga di sisi, dan mempunyai masa untuk diluangkan bersama rakan-rakan.

Padanya tidak kiralah berapa pun pendapatan seseorang, asalkan mereka mencapai nilai kehidupan yang mereka mahukan, itu sudah cukup menggembirakan.

“Saya ada kawan gaji seribu lebih dekat Malaysia dan kawan gaji seribu lebih dekat Singapura. Tapi yang bezanya adalah, gaji seribu lebih dekat Malaysia ni dia ada kehidupan, dia boleh jumpa keluarga dan anak dia. Boleh tengok anak membesar. Ada masa untuk kawan.

“Dekat Singapura ni, saya ada satu kawan, jangan cakap seminggu sekali, kadang-kadang seminggu tu dia pun tak nampak anak dia. Jadi paling penting bagi saya adalah kehidupan,” katanya.

“Ya rezeki tu kat mana-mana boleh cari. Allah dah tentukan. Itu ayat yang biasa kita dengar tapi paling penting kita nak masa dengan keluarga dan kehidupan berkualiti.

“Saya pilih dekat Malaysia ni sebab peluang tu sentiasa ada dekat mana-mana, kurang tekanan dekat sini. Saya ada keluarga, anak dan kawan-kawan saya. Itu adalah perkara paling menggembirakan buat saya,” tambahnya lagi.

Baca juga: Video ‘mawla’ duduk atas pelamin jadi bualan, “tak pernah dengar dia ceramah, video semua duduk je”

Baca juga: Keputusan dah ada, Cikgu Fadli dikenakan tindakan atau tidak akan diketahui esok