Malaysia Dateline

Pemuda, mahasiswa AMANAH sedia bantu penuntut terkandas

Pemuda AMANAH Nasional amat terkilan dengan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangguhkan proses pendaftaran dan orientasi pelajar universiti pada saat-saat akhir.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini itu adalah drastik dan menyebabkan kerugian ribuan ringgit kepada pelajar.

“Kita tertanya-tanya, di manakah Menteri Pengajian Tinggi? Sekiranya isu ini tidak diselesaikan dengan baik untuk kepentingan seluruh mahasiswa, menteri wajib meletakkan jawatan dan ditukar dengan pemimpin lain yang lebih prihatin, setidak-tidaknya berperikemanusiaan dengan kesusahan orang lain,” katanya.

Beliau berkata, KPT sebelum ini telah membuat kenyataan pada 27 Mei lalu bahawa pelajar baharu sesi 2020/2021 termasuk dalam kategori mereka yang perlu belajar secara fizikal dan bukan ‘online’.

“Sudah pasti ibubapa mengambil kenyataan ini sebagai benar dan membuat perancangan awal untuk perjalanan, tempat tinggal dan lain-lain keperluan.

“Kenyataan terbaru KPT bahawa tidak perlu adanya kelas fizikal dan kelas online diteruskan semula sangat membebankan kepada para pelajar.

“Pemuda AMANAH mempersoalkan mengapa tidak dibolehkan pengajian ‘online’ untuk semua kategori pelajar dari awal?

“Dan jika KPT sedar bahawa ada implikasi kewangan atas arahan baru ini, mengapa tidak dibincangkan pampasan kepada pelajar yang terlibat?” soalnya.

Sehubungan itu, Shazni memaklumkan AMANAH melalui Mahasiswa AMANAH dan Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan telah mengambil inisiatif membantu penuntut terkandas di sekitar kawasan Lembah Kelang.

Jelasnya, pelajar terbabit boleh memohon bantuan dengan mengisi Google form https://forms.gle/Bc3B3bVGpyH3HeVR7 atau berhubung terus dengan saudara Aidi Zuhaili Zuhaimi di talian 0192136616.

“Ianya bertujuan untuk membantu menyediakan kemudahan seperti tiket perjalanan, penginapaan, petrol, makan dan minum serta lain-lain yang berkaitan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, mana-mana penyumbang yang berminat untuk memberi sumbangan juga boleh menyumbang secara terus kepada Aktivis Sejahtera RHB Bank 2623 3500 0387 59.