Malaysia Dateline

Pemuda mahu AMANAH bertanding di Titiwangsa, Putrajaya dan Bandar Tun Razak

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan parti itu bertanding di tiga kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan iaitu Titiwangsa, Putrajaya dan Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Asmaaliff Abdul Adam berkata, tiga kawasan itu tiada penyandang daripada Pakatan Harapan (PH) dan bukanlah kerusi warisan dari mana-mana parti komponen PH.

“Calonnya sentiasa berubah-ubah daripada pelbagai parti. Jadi, wajarlah pada PRU15 (dapat) memberi peluang untuk Amanah bertanding di kawasan ini yang diyakini memiliki akar umbi yang kuat.

“Hal ini dikuatkan lagi apabila usul daripada Pemuda Amanah Titiwangsa untuk Amanah bertanding di tiga kerusi ini dibahaskan dan dipersetujui sebulat suara dalam Konvensyen Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan kali ini,” kata beliau pada Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) dan Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan di Hotel Putra semalam.

Konvensyen yang dirasmikan Ahli Majils Pimpinan Pusat Amanah, Suhaizan Kayat turut dihadiri Setiausaha Agung Parti Amanah Nasional (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, Ketua AWAN, Senator Aiman Athirah Al Jundi dan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Bagaimanapun ketiga-tiga kerusi itu, Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan menyatakan hasrat agar salah satu dari kawasan ini dipertandingkan dengan calon daripada kalangan mereka.

“Ia penting bukan semata-mata bagi mengasah bakat kepimpinan pemuda tetapi sebagai signal bahawa AMANAH memiliki akar umbi yang kuat,” katanya dipetik Sinar Harian.

Katanya, dengan meletakkan calon orang muda di kawasan bandar pesat sebegini mampu menarik lebih ramai pengundi yang sibuk mencari rezeki di ibu kota dan sangat peka dengan kemudahan infra yang tertumpu di bandar-bandar ini.

“Untuk tempoh perjuangan dan bukti kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, kini tiba masanya AMANAH dijadikan rakan koalisi berdaya saing agar impak pengukuhan komponen PH mampu bertahan lebih lama dan lebih jauh lagi,” katanya.