Malaysia Dateline

Pemuda Pakatan Harapan

Pemuda Pakatan Harapan mahu sijil UEC diiktiraf

Pemuda Pakatan Harapan berpendapat pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu diperluas ke seluruh negara bagi mengelak pengaliran keluar golongan berbakat.

Mereka berkata tindakan kerajaan yang enggan mengiktiraf UEC amat membingungkan ketika kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak telah berbuat demikian.

“Untuk UEC terutamanya, sijil ini telah pun diiktiraf oleh universiti-universiti terkemuka di peringkat antarabangsa tetapi terus tidak diendahkan di Malaysia.

“Akibatnya, Malaysia sering kehilangan bakat insan sendiri kepada negara luar,” dipetik daripada kenyataan hari ini.

Pertubuhan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah sekian lama menuntut UEC yang merupakan peperiksaan piawai bagi pelajar dikesemua 60 sekolah menengah persendirian Cina di negara ini diiktiraf.

Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan tidak mengiktiraf sijil UEC apabila Dong Zong enggan menerima cadangan supaya kurikulum pelajaran sijil itu dipinda selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Mengulas lanjut, Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan pengiktirafan UEC membolehkan kerajaan dan negara memperoleh banyak kesan positif.

“Kita mengiktiraf UEC tetapi kita perincikan jalan pertengahan untuk bergerak ke hadapan. Ini berkaitan isu polisi awam. Mereka dipastikan menguasai bahasa Melayu pada masa sama kemahiran mereka dapat dimanfaatkan.

“Di United Kingdom, mereka juga mengiktiraf sijil lain termasuk pelajar kita yang belajar dari UIA,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya hari ini.

Untuk rekod, kira-kira 3,000 pelajar menamatkan pengajian mereka dengan sijil UEC setiap tahun.

Pemuda Pakatan Harapan turut menegaskan pendirian tentang pendidikan percuma di universiti awam serta mencadangkan pembinaan lebih banyak universiti, kolej pendidikan dan kolej vokasional bagi mengurangkan pergantungan kepada institusi pendidikan tinggi swasta.