Malaysia Dateline

Pemuda Pas anggap Fahmi Reza hina Raja Permaisuri Agong

Pemuda Pas menyifatkan aktivis dan artis grafik, Fahmi Reza menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, lakaran dibuat Fahmi bertajuk “This is dengki ke?” di Facebook yang membabitkan permaisuri bertujuan menghina dan mengejek.

“Walaupun tajuk (hantaran) itu ringkas, tetapi ia merupakan satu troll (hasut maya) terhadap Permaisuri.

“Pada saya walaupun begitu ringkas ia mempunyai niat untuk menghina,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, Kelantan, hari ini selepas membuat laporan polis ke atas Fahmi.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas bahkan menganggap Fahmi telah banyak membuat lakaran dan kartun yang dianggap menyentuh sensitiviti perkauman dan agama.

Terdahulu, Fahmi membuat hantaran menggunakan gambar Tunku Azizah dengan kapsyen ‘this is dengki ke?’ di Facebook yang dibuat sebagai gambar latar dalam aplikasi Spotify.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, tidak sepatutnya Fahmi melakukan perbuatan hingga menghina institusi beraja.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Pas memohon polis membuka kertas siasatan dan mengheret individu terbabit ke muka pengadilan agar perbuatan seumpama itu dapat dielak dan menjadi pengajaran kepada pengguna Facebook lain.

“Walaupun negara ini negara demokrasi dan kita bebas untuk bersuara untuk menyatakan hak dan sebagainya, tetapi ada batasannya.

“Tidak boleh diusik sensitiviti perkauman dan agama, apatah lagi menghina apa yang menjadi tunjang dalam perlembagaan iaitu institusi beraja.

“Ini salah pengajaran sepatutnya boleh diambil tindakan oleh pihak polis dan kalau kita tidak pertahankan, saya kira ini satu perkara yang sangat memalukan,” tambah Ahmad Fadhli lagi.