Pemuda Pas gesa Jawatankuasa Fatwa Negeri mewartakan SIS pertubuhan sesat

Pemuda Pas gesa Jawatankuasa Fatwa Negeri mewartakan SIS pertubuhan sesat

 

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri mewartakan Sister In Islam (SIS) sebagai pertubuhan sesat, seperti dilakukan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor agar pihak tersebut tidak berani menyebarkan fahaman mereka ke seluruh negara.

Naib Ketua DPPM, Afnan Hamimi Taib Azamuddin, berkata SIS perlu sedar bahawa pertubuhannya bertentangan dengan hukum syarak, kerana mereka jelas menyokong mengkritik sistem dan pengamalan Undang-undang Islam di negara ini melibatkan isu kebebasan beragama dalam Islam.

Afnan Hamimi Taib Azamuddin

Justeru itu beliau berkata, pihaknya menggesa pertubuhan tersebut supaya menghentikan usaha menyebarkan dakyah mereka kepada masyarakat, selain menyarankan mana-mana individu yang berfahaman liberalisme dan pluralisme kembali ke pangkal jalan Islam.

“SIS juga menyokong konsep Kebebasan Orientasi Seksualiti (Lesbian, Gay, Biseksual & Transeksual (LGBT) dan Konsep Qawwamun dan Kepimpinan dalam Islam yang mampu memberi kesan serta mencabar akidah umat Islam di negara ini.

“Kami (DPPM) menyeru kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya meneruskan hasrat meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) / Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

“Mana-mana pertubuhan sesat termasuk SIS yang cuba menggugat institusi fatwa wajar dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

“Tindakan melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan pada waktu ini tertakluk di bawah Seksyen 12c dan Seskyen 13 (1), yang hanya dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali itu dilihat tidak menggerunkan,” kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Afnan berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Julai 2014 telah mewartakan SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Pewartaan fatwa ini juga bertepatan dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 dan tidak bercanggah dengan Perkara 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

“DPPM melihat kemenangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ke atas keputusan kes semakan kehakiman pada 27 Ogos 2019 yang lalu, melibatkan pertubuhan hak wanita, Sister In Islam (SIS) adalah milik seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Selangor.

“MAIS dilihat agresif dalam berhadapan serangan-serangan pemikiran, dan berani mewartakan SIS sebagai pertubuhan yang sesat di Selangor,” ujarnya lagi.

Berhubung isu tersebut, Afnan menyarankan pihak kerajaan menerusi Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof perlu bertegas dan tidak berlembut kepada pertubuhan itu.

“Ini kerana ia melibatkan ancaman akidah kepada umat Islam, lebih-lebih lagi Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.