Pemuda Pas jangka ada lagi parti sertai Gagasan Sejahtera

Pemuda Pas jangka ada lagi parti sertai Gagasan Sejahtera

 

Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi menjangkakan terdapat parti lain akan menyertai Gagasan Sejahtera iaitu blok ketiga parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita sudah ada parti sedia ada dan Pemuda jangkakan ada penyertaan daripada parti lain lagi pada masa terdekat ini,” dipetik daripada wawancara di Berita Harian hari ini.

Setakat ini, gabungan kelompok tersebut terdiri daripada Pas, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) and Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Pas pada 16 Mac 2016 telah mengumumkan pembentukan blok ketiga politik itu bersama parti pimpinan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Menurut Khalil, tahaluf siyasi atau kerjasama politik yang kerap disebut parti itu adalah bersifat fleksibel dan akan dilihat dari semasa ke semasa.

“Apa yang penting dalam tahaluf yang dipersetujui Pas, di sana ada syarat-syarat iaitu yang penting mesti menguntungkan Islam,” ujarnya sambil menegaskan gabungan Gagasan Sejahtera akan diperkasakan.

Pada Muktamar Tahunan Pas ke-63 baru-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga ayah kepada Khalil dalam ucapan dasarnya memberitahu Gagasan Sejahtera akan diperkemas dengan penyertaan kalangan rakyat awam, pimpinan masyarakat, bekas pegawai tinggi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam hal berkaitan, Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan pada 30 April lalu dilapor memberitahu partinya telah membincangkan kemungkinan untuk bekerjasama dengan Pas selepas muktamar.

Ditanya tentang agenda mempertahankan Pas Kelantan ketika hubungan dengan PKR telah diputuskan, Khalil berpendapat Pas memiliki keupayaan untuk mempertahankan negeri tersebut memandangkan majoriti pengundi adalah Melayu.

“Oleh kerana itulah fokus kita yang utama adalah agenda Islam itu sendiri dan mentafsirkan mengenai hak rakyat secara umumnya,” seperti dipetik.

Selain akhbar Berita Harian, wawancara bahkan artikel pemimpin Pas semakin kerap muncul di akhbar Utusan Malaysia selain banyak laporan berita yang bersifat menyerang Pakatan Harapan.

Untuk rekod, Pas meletak sasaran menawan 40 kerusi Parlimen dan empat negeri selain mempertahankan Kelantan pada PRU14.

COMMENTS

Wordpress (0)