Malaysia Dateline

Muhammad Khalil Abdul Hadi

Pemuda Pas kesal tindakan kerajaan didakwa langgar Hak Asasi Manusia

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mengecam tindakan kerajaan Malaysia yang melakukan penangkapan dan penghantaran pulang beberapa orang yang didakwa sebagai aktivis politik pembangkang Mesir untuk diserahkan kepada Rejim Kudeta Mesir.

Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan kerajaan dalam hal ini jelas bertentangan dengan Standard Hak Asasi Manusia.

“Rejim Kudeta Mesir pimpinan As-Sisi mempunyai rekod yang sangat buruk dan kejam terhadap musuh politiknya.

“Mereka yang dihantar pulang ini termasuk pelajar di universiti tempatan yang akan terdedah kepada risiko dihilangkan secara paksa, penyeksaan, penahanan sebelum bicara yang berpanjangan, dan perbicaraan tidak adil yang berleluasa di Mesir,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Muhammad Khalil berkata, DPPM kesal dengan tindakan terburu-buru kerajaan demi memenuhi kehendak rakus Rejim Kudeta Mesir.

Beliau juga menegaskan, pihak yang terlibat dengan penghantaran pulang itu adalah aktivis politik yang pro-Islam dalam kalangan anggota Ikhwan Muslimun.

“Ini sangat memalukan sedangkan banyak pihak dalam Pakatan Harapan (PH) sering melaung-laungkan perjuangan membela hak asasi manusia. Adakah ia sekadar hak asasi manusia ‘terpilih’ atau sandiwara semata-mata?” katanya.

Tambah kenyataan itu, DPPM menggesa kerajaan Malaysia agar konsisten dalam menghormati prinsip ‘non-refoulement’ bagi memastikan mereka yang berisiko tinggi untuk diseksa dan dilayan secara tidak adil oleh pihak rejim seumpama ini tidak dihantar pulang.

Beliau turut menuntut penjelasan segera daripada pihak kerajaan berkenaan pencabulan hak asasi manusia ini