Pemuda Pas main politik ‘meriam buluh’

Pemuda Pas main politik ‘meriam buluh’

Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Husam Musa mempersoal tindakan Pemuda Pas membuat laporan polis secara serentak di beberapa negeri ke atasnya.

 Datuk Husam Musa

Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Husam Musa mempersoal tindakan Pemuda Pas membuat laporan polis secara serentak di beberapa negeri ke atasnya.

Beliau berkata, kebenaran tidak boleh ditegakkan hanya dengan membanyakkan laporan polis.

Sebaliknya ia hanya menunjukkan politik pra-matang, ragu-ragu, mengada-ngada dan politik meriam buluh dan bom asap.

“Saya tidak nampak apa rasionalnya lebih dari satu laporan polis dibuat.

“Adakah Pemuda Pas tidak yakin dengan laporan mereka sendiri, sehingga mereka perlu membuat laporan di sana sini? soalnya dalam kenyataan hari ini.

Pemuda PAS hari ini di beberapa lokasi, termasuk di Wilayah Persekutuan dan Kelantan membuat laporan polis ke atas Husam.

Husam dalam ucapannya baru-baru ini mendakwa PAS menerima dana berjumlah RM90 juta daripada Umno.

Beliau mendakwa dana itu sebagaimana didedahkan Sarawak Report disalurkan melalui sebuah bank tempatan iaitu Affin Bank.

Adun Salor itu juga berkata, Pemuda Pas seharusnya turut membuat laporan polis mengenai penyelewengan wang negara seperti 1MDB.

“Alang-alang ke Balai Polis, kes-kes salah guna dan penyelewengan wang negara yang merugikan rakyat seperti 1MDB patut juga dilaporkan oleh Pemuda Pas.

“Jika tidak, ia akan menimbulkan pertanyaan sejauh mana Pemuda Pas mengambil berat nasib rakyat dan negara lebih dari mereka dan parti mereka semata-mata,” katanya.

Sebelum ini, Sarawak Report, sebuah laman web yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia mendakwa Pas menerima RM90 juta duit dari Umno.

Ekoran itu, Pas mengugut akan menyaman laman yang berpusat di London itu.

Namun sehingga kini hanya notis awal dikemukakan oleh parti itu tetapi belum memfailkan sebarang saman lagi terhadap laman itu.

TAGS