Pemuda Pas pertahan duit raya RM10,000 kepada Ahli Lembaga AKSB, dakwa bonus setimpal dengan kerja

Oleh KIM SYAZIE

Sejak semalam tular satu surat sulit melibatkan pemberian duit raya sempena perayaan Aidilfitri kepada Ahli Lembaga Pengarah, kakitangan dan Setiausaha syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Apa yang menjadi pertikaian adalah jumlah duit raya yang diberikan kepada Ahli Lembaga Pengarah sebanyak RM10,000, dalam keadaan Kelantan masih lagi berhadapan masalah air kotor berpuluh tahun.

Terbaru, Pemuda Pas negeri itu pertahankan tindakan memberi bonus sebesar RM10,000 kepada ALP yang dianggap sebagai bayaran setimpal dengan usaha dan hasil kerja mereka.

Menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook PAS Pusat, Mohamad Kamal Mohamed berkata bayaran tersebut adalah untuk menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan membuat keputusan-keputusan dasar kepada pihak pengurusan.

“Lagi pula sebahagian besar lantikan ahli lembaga pengarah iaitu 7 daripada 9 orang adalah anggota yang profesional dalam aspek pengurusan dan Teknikal air yang tiada apa-apa jawatan dalam parti.

“Soal perbandingan dengan jumlah kepada kakitangan, pada saya ianya tidak berbangkit kerana sebelum perkara ini viral, langkah penambahbaikan telah dibuat oleh pengurusan AKSB untuk kebajikan kakitangan bagi menghadapi hari raya seperti penjawat awam yang lain,” katanya.

Menerusi surat yang tular, kakitangan AKSB diberikan RM200, ALP RM10,000 manakala setiausaha syarikat diberikan RM2,000.

Sementara itu Kamal berkata, adalah tidak wajar dokumen yang dianggap sulit itu disebarkan secara meluas di media sosial oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau juga mencadangkan agar AKSB menyiasat kebocoran dokumen sulit dalam kalangan kakitangan dan membawa orang yang wewenang mencanangkan prosedur dalaman kepada hebahan awam kepada pihak pengadilan.

Dokumen Sulit itu katanya adalah dokumen yang dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Baca juga: Pelik tapi benar, pasangan di Indonesia ini jadikan tiket konsert Coldplay sebagai mas kahwin