Malaysia Dateline

Pemuda Pas sedia pimpin kesepakatan anak muda jika PH penuhi syarat

 

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) hari ini menetapkan keputusan memberikan komitmen anak muda dalam usul undi 18 tahun.

Bagaimana pun Ketua Pemuda Pas Ir Khairul Nizam Khirudin berkata, walaupun DPPM secara dasar bersetuju dengan usul itu dengan syarat ia disertakan juga usul pendaftaran secara automatik dan usul supaya kelayakan menjadi calon pilihan raya juga diturunkan kepada 18 tahun.

” Ini bagi memaksimakan partisipasi anak muda dalam proses demokrasi dan pembinaan negara.

“Dalam konteks yang lebih besar, saya telah menyatakan kepada YB Menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) komitmen DPPM dalam memperkukuh kesepakatan anak muda agar suara anak muda diangkat lebih tinggi dan isu-isu berkaitan anak muda dapat diselesaikan secara tuntas,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru kata Khairul Nizam lagi, DPPM akan mengerakkan beberapa usaha bagi merealisasikan cadangan tersebut.

” Penyatuan organisasi, badan-badan atau persatuan-persatuan anak muda tanpa mengira bangsa dan agama di atas satu platform bagi memperkasa suara anak muda dalam membawa isu anak muda.

“Mengadakan pertemuan dan perbincangan berkala bersama Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha menyelesaikan isu anak muda.

“Melebarkan dan memperkukuh kerjasama politik bersama rakan daripada Gagasan Sejahtera, pembangkang dan Armada bagi meningkat kesedaran politik anak muda,” ujarnya.

Semalam Kerajaan secara prinsip bersetuju dengan dua syarat pembangkang yang menuntut supaya warganegara berusia 18 tahun secara automatik berdaftar sebagai pengundi dan menurunkan had umur calon pilihan raya kepada usia sama.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu sudah dibawa oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) malah kajian mengenainya sedang dijalankan.

Hasil daripada pertemuan itu Kerajaan secara prinsip bersetuju dengan cadangan pembangkang yang mahu warganegara berusia 18 tahun secara automatik berdaftar sebagai pengundi dan menurunkan had usia calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada dua syarat itu dapat dibacakan sekali dalam usul yang akan dibacakan beliau dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.