Malaysia Dateline

Pemuda Pas sekolahkan Umno isu rujuk sumber berita rasmi parti

Pegawai khas Menteri Besar Kelantan, Mohd Hushaimi Hussian membidas sikap Umno negeri itu yang dianggap terlalu gopoh mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk sumber yang jelas.

Timbalan Ketua Pemuda Pas negeri itu mengingatkan Umno harus menunjukkan cara berpolitik yang matang kepada golongan muda.

“Elok-elok kita bermain dalam kolam, tiba-tiba nak terjun dalam air car (air longkang).

“Perlu diingatkan, kita jangan terlalu gopoh khususnya dalam rangka memperkukuh Muafakat Nasional (MN) yang dibina sebelum ini.

“Nak buat rujukan sekali pun rujuklah sumber berita rasmi parti, takkan ambil sumber tepi jalan, lebih-lebih lagi tajuk berita dijadikan teks dalam kenyataan media,” lapor Malaysiakini memetik kenyataan Hushaimi semalam.

Reaksi tersebut sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Umno Kelantan, Akbar Salim yang meminta penjelasan Pas susulan kenyataan Timbalan Mursyidul Am parti, Ahmad Yakob, yang disiarkan Harakahdaily dan Malaysiakini pada 2 Disember lalu.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan dan Adun Pasir Pekan itu berkata, perjuangan politik melalui perpaduan Melayu tidak boleh mengetepikan Bersatu.

Memetik laporkan Harakahdaily, Ahmad menegaskan pergerakan parti Melayu mestilah tidak terhad antara Pas dan Umno, tetapi perlu melibatkan parti lain termasuk Bersatu.

Ahmad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin yang secara terbuka berkata matlamat parti itu untuk menguasai semula kerajaan – yang kini diketuai Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN) – dengan kerjasama Pas.

Kata Khaled, untuk mencapai matlamat menguasai kerajaan, kekuatan Umno dan Pas sudah mencukupi.

Mengulas lanjut, Hushaimi berkata, pihaknya yakin di peringkat akar umbi sama ada Pas, Umno dan Bersatu ingin melihat penyatuan orang Melayu dan Bumiputera terus berkekalan.

“Umno Negeri ini adalah organisasi rasmi parti, tunjukkan kepada anak-anak muda berpolitik dengan cara matang.

“Kami yakin di peringkat akar umbi baik Pas, Umno mahupun Bersatu ingin melihat penyatuan orang Melayu dan Bumiputera ini terus berkekalan.

“Jangan kita terikut-ikut dengan beberapa kerat pimpinan parti yang ada agenda tersembunyi.

“Jom kita kita perkasakan MN dan pertahankan kerajaan PN,” tambah Hushaimi lagi.