Pemuda Pas sokong kempen LGBTdibatalkan

Pemuda Pas sokong kempen LGBTdibatalkan

Pemuda Pas melahirkan kebimbangan terhadap kenyataan sebuah badan bukan kerajaan, Pelangi Campaign yang kesal dengan pembatalan Kempen LGBT “Courage in the face of adversity”.

Naib Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari dipetik berkata, kempen itu dibatalkan ekoran protes beberapa pihak yang menganggap ia tidak sesuai diadakan di negara ini apatah lagi dalam suasana umat Islam menjalani ibadah di bulan Ramadan.

“Pemuda Pas sangat bersetuju Kempen LGBT ini dibatalkan kerana bagi kami penganjurannya boleh menyemarakkan budaya tersebut di kalangan rakyat Malaysia dan menjadi pintu kepada penyuburan homoseksual di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Kempen itu yang dijadualkan berlangsung semasa umat Islam menghayati kesucian Ramadan bakal menayangkan filem pendek, reruai serta perarakan LGBT di dalam kampus Taylor’s University Subang Jaya sepatutnya diadakan pada 6 hingga 8 Jun ini.

Ahmad Fadhli berkata, pihaknya bimbang terhadap respons Pelangi Campaign yang mana ia seolah-olah menggalakkan lagi dan menyokong berlakunya perkara bertentangan dengan agama di negara ini.

Menurutnya, Pemuda Pas ingin mengingatkan kepada Pelangi Campaign bahawa kebebasan hak asasi manusia ada hadnya di dalam Islam termasuk di negara ini yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan wajib meletakkan sistem nilai Islam sebagai keutamaan apatah lagi apabila bertembung dengan isu transgender yang jelas mempunyai kaedah tersendiri di dalam Islam untuk menanganinya,” katanya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Pelangi Campaign bertajuk, “Pelangi Campaign Regrets The Cancellation Of Taylor’s Pride Week” bertarikh 18 Mei 2017 itu turut menyeru seluruh umat Islam di Malaysia bersikap lebih terbuka.

COMMENTS

Wordpress (0)