Malaysia Dateline

Pemuda Pas tayang kerja amal dikritik selepas sindir #Lawan

Khairul Nadzir

Ketua Pemuda Pas Kawasan Bangi, Khairul Nadzir Helmi Azhar dihujani kritikan warganet selepas dilihat sempat menyindir #Lawan ketika ‘menayang’ kerja-kerja amal sayap parti itu.

“Cara budak-budak muda Pas #lawan. Kau ada?” sinisnya atas nama @khairul_nadzir di Twitter hari ini.

Dia turut berkongsikan empat gambar menunjukkan sekumpulan anak muda berpakaian Unit Amal Malaysia dan Briged Amal sedang membersihkan kawasan laluan air yang dipenuhi sisa kayu.

Khairul Nadzir bagaimanapun tidak menyatakan lokasi tersebut tetapi dipercayai di sekitar Yan yang baru-baru ini dilanda tragedi kepala air dari puncak Gunung Jerai.

Rata-rata pengguna Twitter kemudiannya mempertikai tindakan Khairul Nadzir yang menggunakan tanda pagar berkaitan himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di Dataran Merdeka itu.

“Bukan buat amal tidak boleh menunjuk-nunjuk?” kata seorang warganet.

Sementara itu, Daniel Hambali pula meninggalkan komentar, “Apa kena mengena dengan #lawan?”

Dalam masa sama, terdapat juga mempersoal kembali pendekatan Pas yang umum dikenali sinonim dengan aksi demonstrasi.

“Macam dulu korang tak pernah turun demo pula,” tempelak Ahmad Arcana sambil berkongsikan gambar (bawah) satu himpunan massa di jalanan yang disertai Pemuda Pas.

Tidak kurang juga, warganet yang menyindir kembali ciapan pemuda Pas di Selangor itu.

“Nasib baik banjir. Kalau tak banjir sampai mampoih tak #lawan,” selar pengguna Twitter, McKenzie.

Dalam hal berkaitan, Pemuda Pas Kuala Kedah semalam memberitahu pihaknya dalam kalangan Jabatan Amal Malaysia telah turun bergotong-royong di Kampung Setoi, Yan.

“Tugas ini dilakukan bersama Jabatan Amal Malaysia Merbok di dalam usaha membersihkan kawasan sekitar rumah penduduk yang terjejas akibat banjir tempoh hari,” dipetik dari laman Facebook rasmi Dewan Pemuda Pas Kuala Kedah.

Menurut kenyataan itu, tanggungjawab pemuda amat penting untuk memastikan nasib rakyat terus terbela.

“Nikmat kesejahteraan ini harus dikongsi bersama, tanpa mengira waktu susah atau pun semasa senang.

“Tidak peduli sebarang rintangan yang mendatang!!! Ini adalah negeri kita dan kita akan perjuangkannya di atas landasan kebenaran Islam!!!” kata kenyataan itu lagi.

Pemuda Pas semalam membersihkan kawasan terjejas akibat tragedi kepala air di kaki Gunung Jerai. Foto: Twitter Khairul Nadzir.