Pemuda Pas Terengganu sedia hadapi PRN, kata timbalan ketua

Pemuda Pas Terengganu sedia hadapi PRN, kata timbalan ketua

Walaupun sebelum ini berharap pilihan raya negeri (PRN) tidak diadakan kerana ia melibatkan kos yang tinggi, namun kini Pemuda Pas Terengganu telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya itu selepas kebanyakan pihak dalam Pas termasuk di Terengganu sedia untuknya.

Dalam satu dialog di Batu Rakit baru-baru ini, Timbalan Ketuanya Hishamudin Abdul Karim berkata, Pemuda telah bersedia bersama jenteranya jika berlaku sebarang kemungkinan PRN berdasarkan senario politik negeri yang begitu membimbangkan sekarang ini.

Dengan sidang Dewan Undangan Negeri yang akan berlangsung pada Isnin ini Hishamudin berharap kemelut yang berlaku pada Umno tidak akan mengheret rakyat terus berada dalam situasi yang tidak menentu.

“Kita bersedia untuk ambil alih pentadbiran negeri yang berlaku banyak masaalah, mencetuskan kecelaruan dengan pelbagai isu seperti 1MDB, isu Bertam, LPT2 dan sebagainya,” katanya di majlis sembang santai di Maras, Batu Rakit pada jumaat malam bersama masyarakat setempat, lapor media rasmi Pas Terengganu, Buletin Online.

“Pemuda telah bersiap sedia dengan seluruh jentera dalam menghadapi apa jua kemungkinan jika berlaku pembubaran DUN dalam masa terdekat,” tegasnya yang menyokong pendirian pimpinan tertinggi negeri serta menolak anggapan sesetengah pihak yang menyatakan PAS ingin bekerjasama dengan Umno.

Sebelum ini, Hishammuddin berharap PRN tidak diadakan.

Kos perbelanjaan untuk mengadakan sesuatu PRN adalah besar sedangkan kepentingan rakyat perlu didahulukan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, kata Hishamudin kepada akhbar Sinar Harian itu yang membayangkan keraguan Pemuda Pas terhadap PRN itu.

“Kita harap PRN tidak berlaku sebab ia libatkan kos dan kepentingan rakyat. Kita kira sudah sampai pada satu tahap ia diselesaikan melalui PRU,” katanya kepada Sinar Harian.

Hishammuddin yang juga Adun Tepoh menjelaskan pihaknya tetap bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan PRN Terengganu apatah lagi melalui desas-desus yang timbul sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, jentera Pemuda Pas peringkat negeri bila-bila masa sahaja akan bekerja untuk memastikan kemenangan parti.

Umno Terengganu bersedia jika PRN hendak diadakan di negeri itu ekoran kemenangan dengan majoriti kecil dalam PRU 2013 menyebabkan kerajaan negeri tidak stabil.

Pelbagai pihak beranggapan, Umno negeri yakin boleh menang lebih besar kerana Pas kini berpecah kepada dua dengan kelahiran Amanah di samping Pas negeri itu tidak mempunyai hubungan baik dengan PKR negeri.

Pas bercadang untuk merampas satu-satunya kerusi yang dimenangi PKR dalam PRU 2013 iaitu Dun Bandar yang diwakili oleh Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail.

TAGS