Malaysia Dateline

Pemuda Pas, Umno, Bersatu Kedah desak semak semula perjanjian bekalan air

Tiga sayap pemuda Pas, Umno dan Bersatu mendesak semakan semula dilakukan terhadap perjanjian bekalan air antara Kedah dan Pulau Pinang yang dimeterai pada 1985.

Menerusi sidang media bersama, mereka berpendapat semakan semula perjanjian itu perlu mengambil kira kesesuaian dan keperluan semasa.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid, berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengekstrak 80 peratus sumber air mereka atau 1,100 juta liter padu (mld) dari Sungai Muda sehari pada masa ini.

Beliau menegaskan penggunaan yang sangat tinggi itu bersumberkan air yang mengalir dalam Sungai Muda dari kawasan tadahan air Hutan Ulu Muda di Kedah.

“Kedah sudah banyak menanggung kos penyelenggaraan sumber dan aliran air sementara Pulau Pinang menikmati faedah dan keuntungan secara percuma.

“Jadi, selepas 35 tahun tahun, penggunaan air di Pulau Pinang sangat tinggi berbanding Kedah, jadi adalah wajar perjanjian itu disemak semula,” katanya.

Kata Nurul Amin, pihaknya menyokong penuh tuntutan RM50 juta setahun oleh Kedah daripada Pulau Pinang atas penggunaan sumber bekalan air itu.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli dan Ketua Armada Bersatu Kedah, Mohd Saffuan Sabari.

Menurut Nurul Amin, isu tuntutan RM50 juta setahun itu tidak wajar dipolitikkan mana-mana pihak memandangkan ia bukan isu politik kepartian yang perlu diprovokasi sehingga mengenepikan isu asal iaitu pemuliharaan kawasan tadahan air.

Beliau menjelaskan tuntutan tersebut munasabah kerana ia amat diperlukan untuk Kedah melaksanakan program pengekalan dan kelestarian kawasan bagi menjamin bekalan air mencukupi kepada 4.06 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, kata Nurul Amin, semangat setiakawanan sebagai negeri berjiran boleh dicapai menerusi semangat toleransi dan mahabbah.

Tuntutan itu, ujarnya, berfakta dan memiliki nilai keuntungan masa depan bersama bagi kedua-dua negeri berikutan pengekalan dan pemuliharaan kawasan tadahan air Hutan Ulu Muda akan menjamin sumber air bagi generasi akan datang.