Pemuda Pas Wilayah buat laporan polis terhadap Sarawak Report

Pemuda Pas Wilayah buat laporan polis terhadap Sarawak Report

Ketika dua pemimpin utama Pas masih membisu terhadap dakwaan pemimpin Pas menerima RM90 juta dari Datuk Seri Najib Razak, pemuda Pas Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap Sarawak Report.

Laporan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan Nurul Islam Mohamad Yusof di Balai Polis Dang Wangi tengahari tadi.

Dalam sidang media yang dibuat selepas itu, Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, dakwaan itu adalah fitnah semata-mata.

“Sebagaimana kita tahu Pas adalah sebuah parti yang berintergriti. Oleh itu ia tidak akan berlaku dalam Pas yang berpegang kepada intergriti,” kata Khairil kepada media.

Semalam Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau belum membaca dakwaan Sarawak Report itu.

Oleh itu, beliau menyerahkannya kepada Pas Pusat untuk mengendalikannya.

Sehingga kini, tiga pemimpin kanan Pas telah menafikannya iaitu timbalan presiden Datuk Tuan Ibrahim dan naib-naib presiden Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Samad.