Pemuda Perak bangga jadi jentera Amanah PRN Sarawak

Pemuda Perak bangga jadi jentera Amanah PRN Sarawak

Pemuda Amanah Negeri Perak menjadikan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak kali ini medan latihan serta menimba pengalaman bagi mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Pengarah biro pilihan raya Pemuda Amanah Perak Ahmad Shafiq Ariffin berkata, walaupun Amanah gagal memperoleh sebarang kemenangan pada PRN kali ini, namun pihaknya tetap berasa bangga kerana dapat menghantar jentera membantu calon Amanah.

“Walaupun tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, kami mengambil positif dengan memikirkan kepentingan jangka masa panjang.

“Pilihan raya kali ini adalah medan Amanah menuai benih di negeri Bumi Kenyalang, kami yakin Amanah akan melahirkan hasil yang berkualiti pada masa yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakam ucapan tahniah kepada seluruh jentera Amanah dari seluruh negara yang bertungkus-lumus menjalankan gerak kerja pilihan raya.

“Biarpun Amanah baru menjangkau tujuh bulan, namun parti baru ini berjaya menggerakkan jentera daripada seluruh negara untuk bertugas di 13 kerusi yang ditandingi oleh anak tempatan.

“Pemuda Amanah Negeri Perak mengucapkan jutaan terima kasih kepada jentera kami yang turun berkhidmat.

“Sesungguhnya setiap usaha, kudrat serta pengorbanan mereka sangat berperanan biarpun melalui pengalaman yang cukup mencabar. Diharap jentera yang terlibat dapat menatijahkan pengalaman yang diperoleh,” katanya lagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbangkan wang ringgit dalam membantu menggerakkan gerak kerja mereka di Sarawak.

“Semoga setiap usaha dan sumbangan semua mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah,” katanya.

Dalam keputusan rasmi yang diumumkan Sabtu lalu, BN kekal menerajui pentadbiran negeri Sarawak apabila menang 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) manakala masing-masing tujuh DAP dan tiga PKR.

COMMENTS

Wordpress (0)