Pemuda perlu fokus tarik golongan muda keluar mengundi

Pemuda perlu fokus tarik golongan muda keluar mengundi

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertugas bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar memberi fokus mengajak pengundi muda agar keluar mengundi pada 18 Jun ini dan mengundi calon Amanah yang mewakili Pakatan Harapan.

Ketua Pemuda Amanah Nasional Sany Hamzan berkata, gerak kerja mereka tertumpu kepada menarik sokongan pengundi muda kepada Amanah dan memberi kesedaran kepada mereka agar menunaikan hak untuk mengundi.

“Gerak kerja utama pemuda adalah untuk mendapatkan sokongan undi pengundi muda iaitu mereka yang berumur 21 hingga 40 tahun,” kata beliau ketika ditemui Malaysia Dateline.

Beliau berkata, Pemuda Amanah sedang mengenal pasti pengundi muda yang tinggal di luar Kuala Kangsar bagi memastikan mereka pulang mengundi dan memberikan undi kepada calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli.

“Sangat penting kepada kita adalah untuk memastikan 18 Jun ini pengudi muda sama ada yang tinggal di Kuala Kangsar dan di luar negeri supaya dapat balik mengundi kerana ini merupakan satu tanggungjawab, amanah, satu hak yang diberikan dalam perlembagaan sebagai rakyat dalam negara kita untuk kita memilih seorang pemimpin,” katanya.

Di samping itu katanya, Pemuda Amanah Nasional juga giat membantu kempen dengan mengadakan program di kawasan berbeza pada setiap hari.

Mereka mengadakan ziarah rumah ke rumah sambil memberikan juadah berbuka puasa kepada mereka, pemeriksaan kesihatan percuma daripada sukarelawan perubatan selain mengedar risalah di bazar-bazar Ramadan.

Menurut Sany, penglibatan jentera pemuda sangat baik sama ada dari Perak sendiri atau dari luar.

Pemuda dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Johor ditugaskan bagi kempen PRK Kuala Kangsar.

“Kehadiran pemuda bantu sendiri dari Perak dan juga dari negeri lain kita lihat berlaku peningkatan kehadiran dari hari ke hari. Kita mengharapkan dengan kehadiran jentera bantu ini gerak kerja pemuda yang diberikan oleh jentera operasi induk dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)