Malaysia Dateline

Pemuda PH akan ke SPRM lapor isu rasuah yang didedahkan Hamid Bador

Pemuda Pakatan Harapan akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini ekoran pendedahan wujudnya campur tangan menteri dalam urusan polis.

Ia berikutan dakwaan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa wujudnya campur tangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang cuba mempengaruhi pertukaran pegawai dalam pasukan berkenaan.

Menerusi maklumat yang diberikan, laporan kepada SPRM akan dibuat pada jam 1 petang ini.

Sidang media pula akan diadakan di hadapan bangunan SPRM Kuala Lumpur pada jam 2 petang.

Terdahulu, Abdul Hamid mendedahkan wujud penyalahgunaan kuasa dan campur tangan Hamzah dalam pelantikan serta penempatan pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau juga menggambarkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah dicemari “unsur politik”.

Sebelum ini tular di laman sosial tentang rakaman audio yang mendakwa Hamzah mengatur kedudukan jawatan polis dalam PDRM.

Beliau juga mengakui audio yang tular di laman sosial berhubung pelantikan ketua polis negeri adalah dirinya.

Ia sekali gus mengundang gesaan beberapa pihak termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu siasatan segera berhubung perkara itu.