Malaysia Dateline

Pemuda PH akan lapor polis pelanggaran SOP di mahkamah

Pemuda Pakatan Harapan (PH) akan membuat satu laporan polis terhadap perhimpunan beramai-ramai di Mahkamah Tinggi hari ini.

Laporan tersebut dibuat selepas adanya pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) penjarakan sosial di hadapan Mahkamah Tinggi ekoran keputusan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram berkaitan SRC oleh Datuk Seri Najib Razak.

Laporan polis itu akan dibuat oleh Pemuda PH Wilayah Persekutuan iaitu Ketua Pemuda AMANAH WP, Asmaaliff Abdul Adam; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) WP, Prabakaran a/l M Parameswaran; dan Ketua Pemuda DAPSY WP, Lee Bing Hong.

Laporan akan dibuat esok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 12 tengahari.

Pagi tadi Malaysia Dateline melaporkan, kira-kira 2,000 penyokong Najib bersesak dan bersorak di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mereka dengan sebahagiannya tidak memakai pelitup muka atau tidak mengenakannya dengan sempurna berteriak berulang kali jeritan Bossku sejurus Najib tiba.

Difahamkan, kehadiran penyokong Najib juga selepas satu poster ‘Bersolidariti bersama Bossku’ disebarkan di media sosial dengan imej bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil terpampang di poster berkenaan.