Pemuda PH anjur pertandingan buat video, lukis komik

Poster pertandingan mencipta video dan melukis kartun Pemuda PH.

Sempena Himpunan 14 Oktober depan di Petaling Jaya, Pemuda Pakatan Harapan menganjurkan pertandingan membuat video pendek dan melukis komik.

Ia bertujuan untuk membuka peluang kepada golongan belia menonjolkan bakat masing-masing sekali gus memahami tanggungjawab memerangi Kleptokrasi dan Sayangi Malaysia.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, peraturan pertandingan ini adalah:

1) Kedua-dua pertandingan ini terbuka kepada SEMUA warganegara Malaysia kecuali pihak Urusetia Pertandingan;

2) Kedua-dua pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM2,000 kepada pemenang pertama, kedua (RM1,000) dan ketiga (RM500) masing-masing;

3) Penyertaan adalah PERCUMA;

4) Peserta perlu membuat Video atau Komik berdasarkan tema yang ditetapkan oleh penganjur iaitu “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi”;

5) Video atau Komik tersebut hendaklah hak milik sendiri dan tidak pernah disiarkan dimana-mana media lain;

6) Video atau Komik berunsur lucah dan ganas TIDAK layak untuk dipertandingkan;

7) Spesifikasi lukisan Komik: Saiz A4, satu petak atau multipetak, lukisan tangan atau lukisan elektronik dan sekurang-kurangnya 600DPI;

8) Video berdurasi 1 ke 3 minit tersebut perlu dihantar kepada penganjur pertandingan menerusi Google Drive;

9) Hasil karya yang dihantar akan menjadi hak milik mutlak penganjur.

Menurut kenyataan itu, keputusan pertandingan ini adalah berdasarkan penilaian panel juri professional Pemuda Pakatan Harapan.

Tarikh tutup pertandingan ini adalah 25 September 2017 manakala pemenang-pemenang akan diumumkan pada 14 Oktober 2017 semasa Himpunan “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi”.

Mereka yang berminat dengan pertandingan ini boleh menghubungi penganjur pertandingan, Chin Pei Chi (017-6577506) atau emel [email protected]

CATEGORIES
TAGS