Malaysia Dateline

Pemuda PH bantah keras pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Gabungan kepimpinan Pemuda Kuala Langat dari empat parti kerajaan Pakatan Harapan (PH) membantah sekeras-kerasnya cadangan untuk mengeluarkan 930.93 hektar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Dalam kenyataan bersama, mereka menegaskan cadangan penyahwartaan HSKLU bercanggah dengan kenyataan Kerajaan Persekutuan semasa pembentangan belanjawan tahun 2019.

“Ia merupakan satu-satunya hutan simpan yang ada di daerah Kuala Langat dan jika satu-satunya hutan simpan ini juga diratah untuk tujuan pembangunan maka secara tidak langsung akan mengganggu gugat ekosistem kawasan tersebut,” kata mereka.

Kenyataan berhubung kelestarian hutan yang mempunyai tumbuhan terancam dan spesies haiwan jarang ditemui itu disepakati Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Cabang Kuala Langat, Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman; Ketua ARMADA Bersatu (ARMADA) Kuala Langat, Yunis Khalis Abdul Manap; Ketua Pemuda AMANAH Kuala Langat, Wan Afiq Danish Wan Ahmad dan Ketua DAPSY Kuala Langat, Keo Heng Kiat.

“Kami membawa suara Pemuda Pakatan Harapan Kuala Langat gabungan dari empat parti kerajaan ingin memaklumkan bahawa kawasan hutan simpan Kuala Langat Utara merupakan hutan simpan kekal selain berhampiran dengan perkampungan orang asli.

“Semua Kerajaan Negeri sepatutnya mengambil langkah untuk mengekalkan dan melindungi kawasan perlindungan sedia ada termasuk menambah kawasan perlindungan baru.

“Pada 1 November 2019, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dalam ucapannya bagi pembentangan belanjawan 2020, menyatakan secara jelas Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Selangor wajar dikekalkan dan diperluaskan sehingga 32 peratus keluasan negeri Selangor,” kata mereka.

Sehubungan itu, Pemuda Pakatan Harapan Kuala Langat menyeru Kerajaan Negeri untuk menghentikan dan membatalkan cadangan penyahwartaan HSKLU sebaliknya melindungi kawasan hutan paya gambut itu demi kelestarian Selangor dan dunia sejagat.

Tempoh 30 hari untuk orang ramai mengemukakan bantahan dalam usaha menyelamatkan HSKLU.