Pemuda PH buat laporan esok gesa RoS bertindak ke atas Umno

Pemuda PH buat laporan esok gesa RoS bertindak ke atas Umno

Pemuda Pakatan Harapan (PH) Malaysia akan mengemukakan laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) esok supaya mengambil tindakan tegas kepada Umno.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, laporan tersebut ekoran pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai amalan rasuah dan kleptokrasi parti pembangkang itu.

“Sebuah parti politik tidak boleh menerima wang haram untuk kepentingan parti apatah lagi wang rakyat yang digunakan tanpa pengetahuan umum dan atas prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law).

“RoS perlu menjatuhkan hukuman yang tegas kepada Umno atas salah laku ini,” ujarnya yang juga Ketua ARMADA Bersatu dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, PH Malaysia menjemput rakan gabungan dari Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda AMANAH, DAPSY, dan ARMADA untuk turut serta pada sesi penyerahan laporan esok di ibu pejabat RoS di Putrajaya.

Satu sidang media juga akan berlangsung pada 2.30 petang sejurus selesai PH Malaysia membuat laporan kepada RoS.

Kelmarin, Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya mengumumkan agensi itu telah memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) untuk lucut hak bagi tujuan mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar dari salah guna kes 1MDB.

Pihak SPRM sudah mengenal pasti 41 individu dan entiti yang menjadi reponden kepada permohonan tersebut.

Menerusi tuntutan tersebut, SPRM mahu menuntut semula wang sebanyak RM270 juta yang dikatakan telah diberikan kepada pelbagai pihak termasuk Umno pelbagai negeri, MCA, Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).